Perdana Menteri Thailand arah bantuan segera di wilayah selatan dilanda banjir

Anutin Charnvirakul telah turun padang ke Hat Yai dan beberapa kawasan yang ditenggelami air untuk menilai kerosakan secara langsung. - X @prd_official
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengarahkan pelaksanaan operasi bantuan segera di wilayah selatan negara itu yang dilanda banjir, dengan mengutamakan bantuan kepada pesakit terlantar dan individu yang mempunyai kekangan pergerakan ketika banjir menjejaskan puluhan ribu penduduk.
Jurucakap kerajaan Siripong Angkasakulkiat berkata Anutin telah turun padang ke Hat Yai dan beberapa kawasan yang ditenggelami air untuk menilai kerosakan secara langsung, berinteraksi dengan keluarga terjejas dan menggesa penghantaran bantuan yang lebih cepat.
"Perdana Menteri mengarahkan pegawai memberi keutamaan bantuan kepada pesakit terlantar dan mereka yang mempunyai kekangan pergerakan. Beliau sendiri mengagihkan beras dan air minuman kepada penduduk terjejas sebagai bantuan awal," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Semasa tinjauan itu, Anutin turut menyampaikan kata-kata semangat kepada mangsa banjir, sambil memberi jaminan bahawa agensi kerajaan sedang menggerakkan lebih ramai petugas dan sumber.
Beliau turut mengagihkan beg bantuan sebagai sebahagian daripada usaha sokongan awal.
Selain Hat Yai di wilayah Songkhla, banjir turut menjejaskan Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun dan Pattani.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


