Skip to main content

Dunia

Perdana Menteri UK tegaskan kepercayaan terhadap kesatuan selepas 3 negara tandatangani deklarasi penentuan nasib sendiri

Newly elected Makerfield MP Andy Burnham of Britain's Labour Party speaks following his victory in the Makerfield by-election, triggered by the resignation of Labour MP John Simons, at the The Edge Wigan in Wigan, Britain, June 19, 2026. REUTERS/Temilade Adelaja
Perdana Menteri Burnham akan terus mengurangkan tekanan terhadap kewangan isi rumah, serta memberikan keselamatan ekonomi yang lebih besar berbanding terlibat dalam perdebatan Perlembagaan atau referendum selanjutnya. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

LONDON: Perdana Menteri Britain, Andy Burnham “percaya secara mendalam terhadap kesatuan (UK),” kata jurucakapnya pada Isnin sebagai reaksi awal terhadap deklarasi penentuan nasib sendiri yang ditandatangani oleh menteri-menteri pertama Scotland, Wales dan Ireland Utara.

“Perdana Menteri komited untuk membawa perubahan di kesemua empat negara dalam United Kingdom dan percaya secara mendalam terhadap kesatuan,” kata jurucakap Burnham seperti dilaporkan oleh Sky News, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap itu memberitahu pemberita bahawa UK berada “pada tahap terbaiknya” apabila rakyat bersatu di sekitar nilai bersama dan penyelesaian masalah, “berbanding perpecahan.”

“Perdana Menteri akan terus mengurangkan tekanan terhadap kewangan isi rumah, serta memberikan keselamatan ekonomi yang lebih besar berbanding terlibat dalam perdebatan Perlembagaan atau referendum selanjutnya.”

Kenyataan itu menyusul selepas pemimpin Scotland, Ireland Utara dan Wales pada awal Isnin menandatangani memorandum persefahaman bersejarah, menggesa Kerajaan UK untuk bersedia menghadapi perubahan Perlembagaan.

Deklarasi bersama yang ditandatangani oleh Rhun ap Iorwerth, Menteri Pertama Wales merangkap Pemimpin Plaid Cymru; John Swinney, Menteri Pertama Scotland merangkap Pemimpin Parti Nasional Scotland (SNP); dan Michelle O'Neill, Menteri Pertama Ireland Utara merangkap Naib Presiden Parti Sinn Fein menyatakan bahawa landskap politik “sedang berubah.”

“Setiap negara kami mempunyai hak untuk menentukan masa depannya sendiri menerusi saluran demokratik dan sejajar dengan hasrat rakyatnya,” menurut dokumen berkenaan.

Deklarasi itu dibuat berikutan pertemuan bersemuka pertama antara ketiga-tiga pemimpin nasionalis itu di Cardiff, ibu kota Wales, pada awal Isnin.

Buat kali pertama sejak proses penurunan kuasa  bermula pada 1997, ketiga-tiga negara itu dipimpin oleh menteri pertama yang berhasrat untuk keluar daripada UK.

Perkembangan itu berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata pada Ahad bahawa penyatuan Ireland dan Ireland Utara mewakili “satu daripada perkara paling semula jadi sepanjang zaman,” sambil membayangkan bahawa pembahagian bersejarah itu perlu diselesaikan.

Kenyataan berkenaan menyusul selepas pandangan yang disampaikannya pada Sabtu semasa berada di Ireland, apabila beliau menyatakan rasa “gembira” untuk melihat  Ireland yang bersatu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement