Pereka fesyen Emanuel Ungaro meninggal dunia

Agensi
Disember 23, 2019 00:06 MYT
Di awal penceburannya dalam industri fesyen, dia dididik dan dilatih di bawah pereka Sepanyol tersohor, Cristobal Balenciaga. -foto @emanuelungaroparis Instagram
PEREKA fesyen Perancis popular Emanuel Ungaro, yang terkenal dengan penggunaan warna dan corak berani dalam industri fesyen, meninggal dunia di Paris pada usia 86 tahun.
Kematian Ungaro disahkan menerusi Instagram jenamanya, @emanuelungaroparis pada Ahad.
Pengasas butik fesyen terkenal itu yang merupakan anak kepada pasangan imigran Itali dilahirkan di Aix-en-Province, selatan Perancis pada 1933.
Di awal penglibatannya dalam industri fesyen, dia dididik dan dilatih di bawah pereka Sepanyol tersohor, Cristobal Balenciaga.
Mengambil langkah berani, Ungaro mula mengasaskan butik fesyennya sendiri pada 1965 dan menggambarkan dirinya sebagai "obsessive sensual" yang terkenal dengan reputasi pemilihan warna dan cetakan yang garang.
Bagaimanapun, pada tahun 2005 dia mengambil keputusan untuk bersara dan menjual jenama itu kepada seorang usahawan Silicon Valley Asim Abdullah pada tahun yang sama.
Nama Ungaro disebut-sebut di persada fesyen antarabangsa kerana tindakan beraninya mengkritik butik fesyennya sendiri apabila pelakon Amerika Syarikat Lindsay Lohan dilantik sebagai pengarah seni jenama itu.
Malah, dia juga pernah mengkritik koleksi pertama yang diusahakan pelakon sensasi itu sebagai “malapetaka”.
Ungaro terkenal dengan hasil rekaan haute couture serta ready-to-wear.
Label itu meraih popularitinya sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.
Hari ini, jenama berkenaan terus menghasilkan fesyen bagi para wanita, serta produk lain termasuk minyak wangi dan perabot mewah.
Ungaro telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan, namun tidak terlalu menonjolkan dirinya sejak kebelakangan ini.
Dia dikatakan menghabiskan dua tahun terakhir hidupnya dalam keadaan kesihatan yang "lemah", kata seorang anggota keluarga kepada AFP.
#Emanuel Ungaro #fesyen #haute couture #Itali #jenama #meninggal dunia #Paris #pereka fesyen