Skip to main content

Dunia

Perenang wanita maut diserang jerung ketika berenang di Afrika Selatan

Anggota polis berkawal ketika orang ramai berkumpul berhampiran jasad Janine Lochrenberg yang ditutup selepas maut akibat serangan jerung ketika berenang di perairan Pantai Orient di KuGompo City, Eastern Cape, Afrika Selatan, pada Selasa. - Gambar Reuters
Anggota polis berkawal ketika orang ramai berkumpul berhampiran jasad Janine Lochrenberg yang ditutup selepas maut akibat serangan jerung ketika berenang di perairan Pantai Orient di KuGompo City, Eastern Cape, Afrika Selatan, pada Selasa. - Gambar Reuters

Advertisement

AFRIKA SELATAN: Seorang wanita maut selepas diserang jerung ketika berenang di luar pantai timur Afrika Selatan pada pagi Selasa, dalam insiden pertama seumpamanya yang meragut nyawa di negara itu tahun ini.

Janine Lochrenberg, 65, sedang berenang di luar sebuah pantai di KuGompo City, yang dahulunya dikenali sebagai East London, ketika serangan berlaku.

Menurut saksi, mangsa digigit pada dua bahagian badan dan dipercayai meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke darat.

Serangan jerung jarang berlaku di Afrika Selatan, dengan kira-kira 10 serangan maut direkodkan sejak 2012, berdasarkan data International Shark Attack File kelolaan Florida Museum.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8 pagi, Lochrenberg sedang melakukan rutin renang pagi bersama kelab renang air terbuka tempatan.

Rakan-rakan perenangnya segera membawanya kembali ke pantai selepas serangan itu, namun dipercayai mangsa telah meninggal dunia sebelum berjaya dikeluarkan dari air.

Seorang daripada rakan perenangnya memberitahu BBC bahawa Lochrenberg mengalami gigitan pada bahagian paha dan lengan atas.

Menurutnya, mangsa turut memakai gelang penghalau jerung magnetik pada buku lali ketika kejadian.

Adik perempuannya, Margot berkata, dia memegang kepala kakaknya ketika mereka berusaha membawanya ke pantai, namun percaya Lochrenberg telah kehilangan banyak darah ketika masih berada di dalam air.

Margot berkata, kakaknya sangat mencintai laut meskipun menyedari terdapat peningkatan kehadiran jerung di perairan sekitar East London.

“Dia sudah menerima risiko itu. Dia mempunyai hubungan yang begitu mendalam dengan air dan merupakan seorang insan yang luar biasa,” katanya.

Pasangan Lochrenberg, Barbara Briceland pula menyifatkannya sebagai perenang yang baik dan berani yang sering berenang jauh melepasi kawasan ombak.

Menurut Briceland, pesara ahli fizik perubatan itu juga seorang yang sangat pintar, ceria, baik hati dan disenangi ramai.

Pasangan berkenaan sebelum ini merancang untuk menikmati kehidupan selepas bersara dan bakal memulakan perjalanan darat selama tiga minggu bersama.

Susulan kejadian itu, Orient Beach, lokasi serangan berlaku, serta sebuah lagi pantai berhampiran ditutup kepada orang ramai, menurut pihak berkuasa. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement