DUNIA

Perhimpunan Agung PBB sambung semula persidangan penyelesaian dua negara

Bernama 06/09/2025 | 07:45 MYT
Penyambungan semula persidangan itu semasa minggu peringkat tinggi UNGA memberikan peluang kepada lebih ramai ketua negara dan kerajaan untuk menghadirinya. - Gambar fail/AP
NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat memutuskan untuk menyambung semula persidangan antarabangsa peringkat tinggi mengenai penyelesaian dua negara pada 22 Sept, menghidupkan kembali proses yang ditangguhkan musim panas lalu susulan peningkatan keganasan di Asia Barat, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Perhimpunan Agung PBB memutuskan untuk menyambung semula persidangan antarabangsa peringkat tinggi mengenai penyelesaian dua negara bagi Palestin pada 22 September, hasil cadangan lisan oleh Arab Saudi.
  • Amerika Syarikat dan Israel menolak keputusan tersebut, dengan alasan persidangan itu berisiko memanjangkan konflik di Gaza, dan AS menyatakan tidak akan menyertai persidangan berkenaan.
  • Penyambungan semula persidangan semasa minggu peringkat tinggi UNGA memberi peluang kepada lebih ramai pemimpin dunia untuk hadir, namun kehadiran Presiden Palestin Mahmoud Abbas masih belum pasti susulan larangan visa oleh AS terhadap pegawai Palestin.


Perhimpunan itu menerima pakai keputusan lisan yang dicadangkan Arab Saudi berhubung penyambungan semula Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Aman Persoalan Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara.

Selepas keputusan lisan itu diterima, Israel dan Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan mereka tidak bersetuju dengannya, dengan alasan persidangan itu hanya akan memanjangkan perang di Gaza.

Ting Wu, kaunselor politik timbalan misi AS ke PBB, berkata negaranya tidak akan menyertai persidangan tersebut.

Penyambungan semula persidangan itu semasa minggu peringkat tinggi UNGA memberikan peluang kepada lebih ramai ketua negara dan kerajaan untuk menghadirinya.

Bagaimanapun, masih belum diketahui sama ada Presiden Palestin Mahmoud Abbas dapat menghadiri persidangan itu secara peribadi memandangkan AS mengenakan larangan visa terhadap pegawai Palestin.

-- BERNAMA



#PBB #Genosid Gaza #penyelesaian dua negara #UNGA