[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Perhimpunan solidariti Gaza di Berlin dijangka catat rekod penyertaan

Bernama 23/09/2025 | 23:10 MYT
Suasana ketika perhimpunan solidariti bersama Gaza yang diadakan di Berlin, Jerman, pada 13 Sept lalu. REUTERS
BERLIN: Satu perhimpunan besar-besaran bagi membantah konflik di Gaza dijangka menarik puluhan ribu peserta di Berlin pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Demonstrasi "All Eyes on Gaza" itu "dijangka menjadi perhimpunan solidariti terbesar di Jerman untuk Gaza," kata penganjur bersama Jules El-Khatib pada satu sidang media pada Selasa.

"Setakat ini, perhimpunan terbesar ialah 50,000 orang di Berlin. Kami mahu mengatasi angka itu."

Acara itu dianjurkan oleh gabungan 50 persatuan, termasuk Amnesty International, Medico International dan wakil-wakil komuniti Palestin dan Yahudi di ibu negara Jerman itu.

Penganjur menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, satu tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh kerajaan Israel.

Seruan untuk demonstrasi itu menyatakan: "Kami mengutuk semua jenayah perang dan pelanggaran hak asasi manusia, tidak kira sama ada ia dilakukan oleh pihak Israel atau Palestin."

Namun, di tengah-tengah serangan Israel yang berterusan di Gaza, "kritikan utama ditujukan kepada kerajaan Israel dan penyokongnya."

Perhimpunan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di hadapan bangunan Parlimen, tetapi telah dipindahkan ke Victory Column dengan persetujuan pihak berkuasa Berlin, kata penganjur.

-- BERNAMA


#Berlin #Gaza #perhimpunan solidariti terbesar #demonstrasi