Ringkasan AI
- Pihak berkuasa Perancis melaksanakan perintah berkurung malam di Paris, Nice, Lyon, Lille dan beberapa bandar utama susulan gelombang rusuhan dan rompakan.
- Perintah berkurung berkuat kuasa dari 11 malam hingga 6 pagi, dengan sekatan tambahan khusus terhadap golongan belia di Nice.
- Kerajaan Perancis meningkatkan kawalan keselamatan selepas lebih 2,000 perniagaan terjejas dan lebih 350 individu ditahan akibat rusuhan berterusan.
PARIS: Pihak berkuasa Perancis mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam di beberapa kawasan di Paris dan bandar utama lain susulan gelombang rusuhan serta kegiatan merompak yang tercetus di seluruh negara sejak beberapa minggu lalu.
Menurut kenyataan pihak polis, perintah berkurung di beberapa bahagian pusat Paris akan berkuat kuasa mulai 11 malam hingga 6 pagi waktu tempatan.
Langkah serupa turut dilaksanakan di bandar Nice di selatan Perancis, dengan datuk bandar kawasan itu mengenakan perintah berkurung khusus terhadap golongan belia. Sekatan tambahan juga diperkenalkan di Lyon serta beberapa bandar di utara negara itu termasuk Lille.
Sebelum ini, Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan perintah berkurung susulan rusuhan dan kegiatan penjarahan yang berlaku sepanjang hujung minggu lalu.
Dalam satu kenyataan, beliau menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada pihak yang terlibat dalam keganasan dan jenayah.
"Kami tidak akan dipengaruhi atau diperintah oleh perosak, pencuri dan samseng," katanya.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 2,000 perniagaan dipercayai terjejas akibat rusuhan yang melanda beberapa bandar di negara itu.
Ketegangan bermula bulan lalu apabila pelajar mengadakan demonstrasi bagi membantah keadaan sekolah, namun protes tersebut kemudiannya berkembang menjadi gerakan yang mengangkat pelbagai isu sosial dan ekonomi yang lebih luas.
mendakwa pergerakan itu dipimpin oleh kumpulan radikal berhaluan kiri yang didakwa cuba mewujudkan keadaan huru-hara menjelang pilihan raya presiden Perancis pada 2027.
Pada Sabtu lalu, lebih setengah juta orang dilaporkan turun ke jalanan menyertai demonstrasi di seluruh negara.
Sementara itu, pihak polis menahan lebih 350 individu di Paris pada Ahad, manakala sekurang-kurangnya lima premis perniagaan dilaporkan dirompak ketika rusuhan berterusan.
Kerajaan Perancis kini meningkatkan langkah keselamatan di beberapa bandar utama bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk dan memulihkan ketenteraman awam.