Perintah penahanan ditarik, penyerang Paris dirujuk ke klinik psikiatri

Bernama
Disember 25, 2022 05:50 MYT
Doktor yang memeriksa lelaki itu membuat kesimpulan bahawa keadaan kesihatan penyerang tidak selaras dengan syarat penahanan. - Reuters
ANKARA: Perintah penahanan terhadap suspek yang membunuh tiga individu di Paris telah ditarik balik atas cadangan doktor, menurut pejabat pendakwa raya pada Sabtu.
Lelaki bersenjata itu telah dirujuk ke klinik psikiatri, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pejabat pendakwa raya Paris berkata, doktor yang memeriksa lelaki itu membuat kesimpulan bahawa keadaan kesihatan penyerang tidak selaras dengan syarat penahanan.
William M, 69, yang dipindahkan ke klinik psikiatri akan disoal siasat oleh hakim jika keadaan kesihatannya mengizinkan.
Lelaki itu memegang kad pekerja dari Syarikat Kereta Api Perancis Kebangsaan, melepaskan tembakan dan membunuh sekurang-kurangnya tiga orang di Jalan Enghien di pusat bandar pada Jumaat.
-- BERNAMA
#serangan Paris #tembakan rambang #psikiatri #perintah penahanan