DUNIA

Perjanjian dengan AS 'boleh dicapai' jika hak pengayaan uranium dijamin dan sekatan dihapuskan - Araghchi

Bernama 11/06/2025 | 23:00 MYT
Araghchi (gambar) menegaskan Iran tidak berniat membangunkan senjata nuklear, menyatakan premis itu boleh menjadi asas perjanjian baharu dengan AS. - Gambar fail/AP
TEHRAN: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) boleh dicapai jika hak pengayaan uranium Iran dijamin dan sekatan terhadap Tehran dimansuhkan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Araghchi membuat kenyataan itu dalam catatan di akaun X pada Rabu, menjelang pusingan keenam rundingan tidak langsung antara Tehran dan Washington berkenaan program nuklear Iran, dijadualkan pada 15 Jun di Muscat, Oman.

Rundingan melalui pengantaraan Oman itu menghadapi halangan apabila pentadbiran Presiden AS Donald Trump mendesak penghentian sepenuhnya pengayaan uranium Iran - tuntutan yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Tehran.

Araghchi menegaskan Iran tidak berniat membangunkan senjata nuklear, menyatakan premis itu boleh menjadi asas perjanjian baharu dengan AS.

"Presiden Trump memulakan tugasnya dengan menyatakan Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear. Itu selaras dengan doktrin kami sendiri dan boleh menjadi asas utama perjanjian," katanya.

"Ketika kami menyambung semula perbincangan Ahad ini, jelas bahawa perjanjian yang memastikan sifat aman program nuklear Iran boleh dicapai malah diperoleh dengan cepat," kata menteri luar itu.

Araghchi menjelaskan "hasil saling memanfaatkan" dalam rundingan bergantung kepada pengiktirafan hak pengayaan Iran di bawah penyeliaan penuh agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta pengakhiran sekatan.

-- BERNAMA


#Amerika Syarikat #Iran #hak pengayaan uranium #abbas araghchi