Perjanjian nuklear Iran: Negara Eropah desak AS tidak tarik diri

Astro Awani
Januari 11, 2018 21:12 MYT
Boris Johnson (kanan) menghadiri sidang media bersama rakan sejawatnya Jean-Yves Le Drian (Perancis) dan Sigmar Gabriel (Jerman) selepas pertemuan dengan Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif di Brussels, Belgium, 11 Jan, 2018. REUTERS
Negara-negara Eropah mendesak Amerika Syarikat supaya mengekalkan perjanjian nuklear dengan Iran.
Perjanjian itu yang menghadkan program nuklear Iran, disifatkan mampu menjadikan dunia tempat yang lebih selamat.
Desakan dinyatakan Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Iran, Perancis, Jerman dan negara Kesatuan Eropah (EU) di Brussels.
Johnson turut mendesak Presiden Donald Trump untuk memperkenalkan alternatif lebih baik, sekiranya mahu meminda atau membatalkan perjanjian nuklear tersebut.
Oktober lalu, Trump enggan mengesahkan perjanjian tersebut kerana mendakwa Iran tidak memenuhi kewajipannya seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini menegaskan blok itu melihat perjanjian berkenaan sebagai mencapai sasaran, dengan kemampuan dunia untuk memantau rapat program nuklear Tehran.
Ia juga mengelak potensi perlumbaan menghasilkan senjata nuklear di rantau berkenaan.
#Amerika Syarikat #AS #Britain #Donald Trump #EU #Iran #perjanjian nuklear #presiden