DUNIA

Perjanjian PBB untuk laut lepas bakal berkuat kuasa selepas diratifikasi 60 negara

Bernama 21/09/2025 | 00:00 MYT
Dengan jumlah ratifikasi mencukupi, perjanjian antarabangsa PBB bagi melindungi laut lepas itu dijangka mula berkuat kuasa dalam tempoh 120 hari iaitu pada 17 Jan 2026. - Foto High Seas Alliance (Perikatan Laut Lepas)
NEW YORK: Satu perjanjian antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi laut lepas bakal berkuat kuasa selepas sekurang-kurangnya 60 negara meratifikasinya sebelum tarikh akhir Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Ini adalah satu pencapaian penting dalam menamatkan aktiviti penangkapan ikan secara tidak bertanggungjawab dan memajukan pemuliharaan marin global," kata Dr Sandra Altherr daripada Pro Wildlife dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Perikatan Laut Lepas, sebuah rangkaian pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan perlindungan hidupan marin.

Russ Feingold daripada Kempen untuk Alam Semula Jadi pula menyatakan bahawa dalam suasana mencabar hubungan antarabangsa ketika ini, "ini adalah pencapaian penting yang membuktikan multilateralisme masih wujud dan masyarakat antarabangsa masih mampu bersatu mencapai kejayaan besar."

Perjanjian itu mewujudkan rangka kerja untuk menetapkan kawasan perlindungan marin yang luas di laut lepas serta pelaksanaan penilaian impak alam sekitar sebelum sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan persekitaran marin dijalankan.

Lebih 160 negara mencapai persetujuan mengenai perjanjian itu di New York pada Mac 2023 selepas rundingan panjang.

Dengan jumlah ratifikasi mencukupi, perjanjian itu dijangka mula berkuat kuasa dalam tempoh 120 hari iaitu pada 17 Jan 2026, menurut PBB.

Walaupun Jerman dan Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian itu, kedua-duanya masih belum meratifikasinya. Di Jerman, undang-undang baharu diperlukan untuk membolehkan ratifikasi.

"Perjanjian ini merupakan instrumen antarabangsa pertama yang mengikat dari segi undang-undang bagi melindungi hidupan marin di laut lepas, yang meliputi dua pertiga permukaan laut dunia dan memainkan peranan penting dalam memastikan keadaan planet yang sihat," menurut Perikatan Laut Lepas.

-- BERNAMA


#Perjanjian PBB #laut lepas #ratifikasi #Perikatan Laut Lepas