INTERNATIONAL
Perjanjian perdagangan AS-China cetus lonjakan di Wall Street

Lonjakan di Wall Street itu dipacu oleh berita mengenai perjanjian perdagangan antara AS dan China yang secara drastik mengurangkan tarif besar-besaran ke atas barangan masing-masing untuk tempoh sekurang-kurangnya 90 hari. - Reuters
WASHINGTON: Saham Amerika Syarikat (AS) melonjak tinggi pada dagangan Isnin, menghapuskan kelemahan sederhana yang dicatatkan minggu lalu, lapor dpa-AFX.
Ringkasan AI
- Saham AS melonjak tinggi pada Isnin, dengan Nasdaq meningkat 4.4%, S&P 500 naik 3.3%, dan Dow Jones naik 2.8%, dipacu oleh berita perjanjian perdagangan antara AS dan China yang mengurangkan tarif untuk 90 hari.
- Saham semikonduktor, pengangkutan, dan perkakasan komputer mencatat prestasi terbaik, dengan masing-masing melonjak ke paras penutupan tertinggi dalam lebih dua bulan.
- Hasil bon Perbendaharaan AS meningkat apabila harga bon jatuh, dengan hasil bon 10 tahun mencapai paras tertinggi dalam sebulan. Tumpuan pelabur pada Selasa mungkin dipengaruhi oleh laporan inflasi harga pengguna AS bagi April.
"Walaupun ketegangan perdagangan hanya diredakan selama 90 hari, ia tetap satu kejayaan besar dari perspektif pelabur," kata Pengarah Pelaburan AJ Bell, Russ Mould.
"Sesetengah pihak menjangka hasil terbaik daripada perbincangan hujung minggu hanyalah persetujuan untuk meneruskan rundingan," tambahnya.
"Oleh itu, kejayaan mencapai perjanjian awal dengan cepat dan disertai pengurangan tarif yang ketara amat mengejutkan dan dialu-alukan."
Saham semikonduktor antara yang mencatat prestasi terbaik, dengan Indeks Semikonduktor Philadelphia melonjak tujuh peratus ke paras penutupan tertinggi dalam lebih dua bulan.
Saham pengangkutan turut mencatat pengukuhan ketara, apabila Purata Pengangkutan Dow Jones meningkat tujuh peratus, juga ke paras penutup tertinggi dua bulan.
Saham perkakasan komputer turut melonjak, mendorong Indeks Perkakasan Komputer NYSE Arca meningkat 6.5 peratus.
Di pasaran bon, hasil Perbendaharaan AS melonjak apabila harga bon jatuh ketara. Hasil bon Perbendaharaan 10 tahun meningkat 8.2 mata asas kepada 4.457 peratus, paras penutupan tertinggi dalam tempoh sebulan.
Bagi dagangan Selasa, tumpuan pelabur mungkin dipengaruhi oleh reaksi terhadap laporan Jabatan Tenaga Kerja AS mengenai inflasi harga pengguna bagi April.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami