DUNIA

Perjanjian perdagangan AS-China "selesai"- Trump

Bernama 11/06/2025 | 15:45 MYT
Perjanjian perdagangan antara Washington dan Beijing "selesai," tertakluk kepada kelulusan akhir oleh presiden kedua-dua negara, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Perjanjian perdagangan antara Washington dan Beijing "selesai," tertakluk kepada kelulusan akhir oleh presiden kedua-dua negara, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata AS "akan menerima jumlah keseluruhan tarif sebanyak 55 peratus, manakala China menerima 10 peratus."

"Magnet penuh dan sebarang bahan nadir bumi yang diperlukan, akan dibekalkan terlebih dahulu oleh China," katanya, sambil berkata, "Begitu juga, kami akan menyediakan kepada China apa yang dipersetujui, termasuk pelajar China yang menggunakan kolej dan universiti kami (yang sentiasa saya sokong!)."

"Hubungan sangat baik!" katanya lagi.

Pegawai dari AS dan China bertemu di London minggu ini untuk membincangkan isu tarif.

Sebelum ini, pada April, AS mula melaksanakan tarif besar-besaran terhadap China, namun pada Mei, AS dan China bersetuju untuk melaksanakan pengurangan secara besar-besaran tarif itu bagi tempoh awal selama 90 hari.

-- BERNAMA

#Amerika Syarikat #China #Donald Trump #perjanjian perdagangan