LAEM CHABANG/KUNMING: Sebuah kereta api yang membawa 23 kontena durian dan manggis tiba di Kunming pada Rabu, sekali gus menyaksikan pengeksport buah-buahan Thailand kini mula beralih menggunakan perkhidmatan Kereta Api China-Laos yang memudahkan lagi akses ke pasaran China .

Bekas pakar import dan eksport di Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand, Orathai Euatrakool, 67, berkata sebelum ini, sejumlah besar durian dihantar ke China kebanyakannya melalui jalan darat dan laut, masa yang diambil sukar untuk dijangkakan kerana bergantung kepada faktor cuaca.

"Kadang-kadang ia mengambil masa lebih daripada 20 hari untuk sampai ke destinasi," kata Orathai kepada Xinhua.

Tetapi kini, barangan boleh sampai ke Kunming dalam masa tiga hari menggunakan perkhidmatan Kereta Api China-Laos dari Thailand dan lebih banyak durian dapat dieksport, katanya.

Menurut data Kementerian Perdagangan Thailand, China merupakan pasaran eksport terbesar durian Thailand pada 2022, menyumbang lebih 96 peratus daripada jumlah eksport bernilai AS$3.09 bilion.

Thailand Royal Farm Group Co, Ltd telah menjalankan perniagaan eksport durian di Wilayah Chanthaburi, lokasi pengeluar durian terkenal Thailand, selama lebih 16 tahun.

Ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Weerisa Wanuruksakul, berkata peningkatan permintaan pasaran yang berterusan di China menyebabkan harga borong durian terus meningkat sekali gus menjana sumber pendapatan kepada penduduk tempatan menerusi pekerjaan pembungkusan.

Perkhidmatan Kereta Api China-Laos telah membuka laluan baharu untuk eksport durian kerana isu seperti kapasiti pengangkutan yang tidak mencukupi dan ketidaktentuan pengangkutan jalan raya dan laut dapat diatasi.

Perkhidmatan itu juga telah menggalakkan pembangunan pengangkutan kereta api Thailand dengan jumlah kargo meningkat daripada 500-600 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki) pada 2019 kepada 2,000 TEU pada 2022 dan dijangka mencapai lebih 3,000 TEUs pada 2023.

-- BERNAMA