DUNIA

Perkhidmatan kereta api penumpang Pyongyang-Beijing akan disambung semula - NHK

Bernama 12/07/2025 | 20:15 MYT
Kedua-dua negara kini sedang dalam rundingan akhir bagi menyambung semula perkhidmatan antara ibu kota masing-masing.
TOKYO: Korea Utara dan China bersetuju untuk menyambung semula perkhidmatan kereta api penumpang antara Pyongyang dan Beijing seawal bulan depan selepas perkhidmatan itu terhenti selama lima tahun, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik laporan penyiar Jepun NHK pada Sabtu.

Kedua-dua negara kini sedang dalam rundingan akhir bagi menyambung semula perkhidmatan antara ibu kota masing-masing, selepas ia dihentikan pada Januari 2020 akibat pandemik COVID-19, menurut NHK yang memetik beberapa sumber.

NHK melaporkan menurut satu sumber, perjalanan rakyat Korea Utara ke China meningkat sejak Mei tahun ini bagi tujuan latihan dan hubungan dua hala dilihat semakin baik.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan penyambungan semula perkhidmatan itu, Kementerian Luar China bagaimanapun menyatakan yang mereka tidak mengetahui tentang aktiviti itu dan merujuk pertanyaan kepada pihak berkuasa berkaitan, menurut NHK.

--BERNAMA-YONHAP







#kereta api #Pyongyang #Beijing #perkhidmatan #Korea Utara #China