NEW YORK: Menaiki kereta kuda yang menjadi daya tarikan pelancongan di Central Park, New York , mungkin hanya tinggal kenangan tidak lama lagi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Datuk Bandar New York City (NYC) Zohran Mamdani dan Speaker Majlis Bandar Raya Julie Menin telah bersetuju dengan satu rang undang-undang yang bakal memansuhkan tarikan ikonik itu, lapor media Amerika Syarikat (AS).
Keputusan itu dibuat berikutan insiden kematian seorang pelancong yang terjatuh daripada kereta kuda pada Jun lepas serta aduan berterusan daripada aktivis hak haiwan.
Larangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Jun 2028. Rang undang-undang berkenaan perlu diluluskan terlebih dahulu oleh Majlis Bandar Raya New York, dengan pengundian dijangka berlaku seawal akhir minggu depan. Menin dilaporkan berkeyakinan cadangan itu akan mendapat sokongan majoriti.
"Industri kereta kuda di New York City akan berakhir," tulis Mamdani menerusi hantaran di platform X pada lewat Selasa.
"Pentadbiran kami akan memastikan pekerja dan pemilik dilindungi serta haiwan-haiwan berkenaan berada dalam keadaan selamat," katanya.
New York telah bertahun-tahun berdebat sama ada perkhidmatan kereta kuda -- yang beroperasi di Central Park sejak kira-kira satu setengah abad lepas -- perlu dihentikan.
Walaupun perkhidmatan itu sangat popular dalam kalangan pelancong, aktivis kebajikan haiwan telah lama mendesak agar ia dihentikan atas alasan kuda-kuda berkenaan dikerah bekerja secara berlebihan, ditempatkan di kawasan yang tidak memuaskan, dan mudah panik. Bagaimanapun, pihak pengusaha menolak dakwaan berkenaan.
Bagaimanapun, insiden kemalangan terus dilaporkan berlaku dari semasa ke semasa.
Pada Jun lepas, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari India yang melawat New York bersama keluarganya maut selepas melompat keluar dari kereta kuda untuk menyelamatkan ibunya yang terhumban keluar. Remaja berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala selepas terhempas di atas tanah dan meninggal dunia tidak lama kemudian di hospital.
-- BERNAMA-dpa