[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Perkhidmatan rahsia AS lumpuhkan rangkaian telekomunikasi haram berhampiran PBB

Bernama 23/09/2025 | 22:40 MYT
Menurut Perkhidmatan Rahsia, peranti itu tertumpu dalam lingkungan 55 kilometer dari Perhimpunan Agung PBB. - Foto AP
NEW YORK: Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berkata pihaknya telah melumpuhkan sebuah "rangkaian peranti elektronik" berskala besar di wilayah metropolitan New York yang menimbulkan "ancaman nyata" kepada pemimpin politik yang menghadiri Debat Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Agensi itu, yang ditugaskan untuk melindungi para pemimpin politik AS dan asing, berkata pihaknya menemukan "300 pelayan SIM yang ditempatkan bersama dan 100,000 kad SIM di beberapa lokasi."

"Walaupun pemeriksaan forensik terhadap peranti ini masih dijalankan, analisis awal menunjukkan terdapat komunikasi selular antara pelaku ancaman yang didalangi negara dan individu yang dikenal pasti oleh penguatkuasa undang-undang persekutuan," katanya, memberi isyarat kemungkinan penglibatan asing.

Pengumuman itu dibuat tidak lama sebelum Presiden Donald Trump dijadualkan menyampaikan ucapan pada Debat Umum tahunan Perhimpunan Agung PBB.

Menurut kenyataan itu, peranti berkenaan boleh memudahkan panggilan ugutan tanpa nama dan mungkin juga digunakan untuk melumpuhkan menara telekomunikasi dengan membebankannya secara berlebihan, selain membolehkan penjenayah melakukan komunikasi berkod.

"Potensi gangguan terhadap telekomunikasi negara kita akibat rangkaian peranti ini tidak boleh dipandang remeh," kata Pengarah Perkhidmatan Rahsia Sean Curran.

Menurut Perkhidmatan Rahsia, peranti itu tertumpu dalam lingkungan 55 kilometer dari Perhimpunan Agung PBB.

-- BERNAMA






#UNGA #Donald Trump #rangkaian peranti elektronik #debat umum