INTERNATIONAL
Perniagaan kecil AS fail saman terhadap tarif Trump

Saman yang difailkan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS itu menghujahkan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump (foto) tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif menyeluruh di seluruh dunia tanpa kelulusan Kongres. -Gambar fail
NEW YORK: Beberapa perniagaan kecil di Amerika Syarikat (AS) pada Isnin memfailkan saman bagi mencabar kuasa White House mengenakan tarif secara unilateral pada 2 April, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Beberapa perniagaan kecil di AS memfailkan saman di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS mencabar kuasa White House mengenakan tarif secara unilateral pada 2 April.
- Saman berkenaan difailkan oleh Liberty Justice Centre dan Profesor Undang-undang Universiti George Mason, Ilya Somin, mewakili lima perniagaan kecil dari pelbagai negeri.
- Saman itu menghujahkan bahawa Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) tidak memberi kuasa kepada Presiden AS untuk mengenakan tarif secara menyeluruh tanpa kelulusan Kongres.
Saman itu mewakili lima perniagaan kecil yang dikendalikan pemilik dari negeri New York, Pennsylvania, Utah, Virginia dan Vermont.
"Defisit perdagangan telah wujud sejak beberapa dekad lepas dan tidak membentuk satu kecemasan negara atau ancaman keselamatan," menurut kenyataan Liberty Justice Centre. "Malah, pentadbiran Trump mengenakan tarif terhadap negara yang tidak mempunyai defisit perdagangan dengan AS, sekali gus melemahkan justifikasi tindakan itu."
Trump sebelum ini menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) untuk mempertahankan tarif "Liberation Day", termasuk tarif terhadap Mexico, Kanada dan China, menurut pusat berkenaan.
Bagaimanapun, aduan itu menyatakan bahawa IEEPA tidak memberi kuasa kepada Presiden AS untuk mengenakan tarif secara menyeluruh, malah tidak membenarkan pengenaan tarif langsung.
Di sebalik bantahan meluas, Trump menandatangani perintah eksekutif pada 2 April berkaitan "tarif timbal balik", yang mengenakan tarif asas minimum 10 peratus serta kadar lebih tinggi ke atas beberapa rakan dagang tertentu.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami