Skip to main content

Dunia

Persatuan Tahanan Palestin bimbang keadaan pengarah hospital Gaza yang ditahan

51735383553_DrHussamAbuSafiya.jpg
Penahanan berterusan terhadap petugas perubatan dari Gaza, termasuk Hussam Abu Safiya (gambar) , adalah sebahagian daripada kempen yang menyasarkan petugas kesihatan. - Foto fail/AP
Advertisement

RAMALLAH: Persatuan Tahanan Palestin pada Ahad memaklumkan bahawa Pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza, Dr Hussam Abu Safiya, yang ditahan pihak berkuasa Israel, telah dipindahkan ke satu bahagian penjara yang dikenali sebagai "Rakefet", lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Pertubuhan hak asasi manusia Palestin menyifatkan bahagian itu sebagai kemudahan berkeselamatan tinggi, ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap keadaan fizikal dan psikologi beliau.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan itu berkata Abu Safiya terus ditahan tanpa sebarang pertuduhan rasmi di bawah undang-undang yang dirujuk Israel sebagai "Undang-Undang Pejuang Haram", sambil menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan tahanan dan tahap kesihatan beliau yang dilaporkan.

Persatuan Tahanan Palestin berkata penahanan berterusan terhadap petugas perubatan dari Gaza, termasuk Abu Safiya, adalah sebahagian daripada kempen yang menyasarkan petugas kesihatan.

Pertubuhan itu menggesa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya campur tangan segera bagi memastikan mereka dilindungi serta dibebaskan.

Persatuan itu meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas pihak berkuasa Israel terhadap keselamatan Abu Safiya, petugas perubatan lain yang ditahan serta tahanan Palestin. Menurutnya, negara yang memberikan sokongan politik dan ketenteraan kepada Israel turut memikul tanggungjawab terhadap berterusannya pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

Kenyataan itu menambah bahawa kecaman semata-mata tidak lagi memberi kesan praktikal dalam menghadapi apa yang disifatkannya sebagai pemusnahan secara sistematik yang menyasarkan tahanan Palestin.

Kenyataan itu diakhiri dengan memetik kata-kata Abu Safiya kepada peguamnya: "Ini kali terakhir kamu akan berjumpa saya ... Mereka membawa saya ke sini untuk membunuh saya. Saya tidak melihat diri saya akan keluar dari sini dalam keadaan hidup. Inilah pengakhirannya."

-- BERNAMA-WAFA

 

 

Must Watch Video

Advertisement