DUNIA

Personaliti konservatif, Nick Adams jadi pilihan Trump sebagai Duta AS ke Malaysia

Agensi 11/07/2025 | 01:20 MYT
Adams, seorang warga Australia-Amerika dan penyokong awal Trump menyifatkan pelantikannya sebagai “satu penghormatan seumur hidup.” - Gambar X @Nick Adams
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencalonkan Nick Adams yang juga seorang personaliti konservatif terkenal dengan pandangan politik haluan kanan sebagai Duta Besar Amerika Syarikat yang baharu ke Malaysia.

Adams, seorang warga Australia-Amerika dan penyokong awal Trump mengumumkan pencalonan itu menerusi satu video di media sosial pada Rabu, sambil menyifatkannya sebagai “satu penghormatan seumur hidup.”

“Hari ini, tugas memanggil saya untuk berkhidmat di luar negara, bukan dengan pakaian seragam perang, tetapi bersenjata dengan pena diplomasi.

“Presiden kita telah menghulurkan tangan persahabatan kepada sekutu lama dan baharu di seluruh dunia,” kata Adams.

“Ia satu penghormatan luar biasa untuk membawa hasrat murni Presiden kepada rakyat Malaysia yang hebat.

“Tuan Presiden, saya berbesar hati mewakili anda dan berkhidmat untuk negara kita di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan seluruh rakyat Malaysia.”

Dalam video sama, Adams turut menyatakan komitmen beliau untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Saya amat menantikan peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan Tuanku dalam memperkukuh hubungan antara rakyat kita yang bersahabat.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya tidak sabar untuk menyelami budaya anda dan belajar daripada anda,” tambahnya.

Adams dikenali dalam kalangan penyokong konservatif di AS menerusi kandungan media sosial yang sering menonjolkan nilai maskuliniti ekstrem dan gaya hidup konservatif

Pencalonan beliau ke Malaysia sebuah negara majoriti Muslim dengan lebih 35 juta penduduk telah pun dihantar secara rasmi ke Senat AS untuk proses pengesahan.

Penganalisis melihat langkah ini sebagai sebahagian daripada strategi politik Trump untuk menarik sokongan dalam kalangan pengundi lelaki muda serta segmen pengundi Muslim yang cenderung menyokong beliau, khususnya dalam konteks konflik berpanjangan di Gaza yang mencetuskan kebimbangan global.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.



#Amerika Syarikat #Hubungan dua hala #Sultan Ibrahim #Nick Adams