DUNIA
Pertelingkahan makin tegang, Trump ancam tarik subsidi Tesla, SpaceX
Presiden Trump (kanan) mengancam untuk menghentikan berbilion dolar subsidi kerajaan kepada syarikat-syarikat milik Musk sekali gus menandakan peningkatan ketara dalam pertelingkahan antara dua tokoh besar itu yang dahulunya sekutu politik.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam untuk menghentikan berbilion dolar subsidi kerajaan kepada syarikat-syarikat milik Elon Musk, termasuk Tesla dan SpaceX.
Ini menandakan peningkatan ketara dalam pertelingkahan antara dua tokoh besar itu yang dahulunya sekutu politik.
Menurut laporan Reuters, ancaman itu dibuat ketika Trump terus mempromosikan rang undang-undang pemotongan cukai dan pengurangan perbelanjaan yang diluluskan tipis oleh Senat pada Selasa.
Satu rang undang-undang yang turut menghapuskan insentif pembelian kenderaan elektrik (EV), termasuk kredit cukai pengguna sebanyak AS$7,500.
Insentif ini selama ini banyak menguntungkan Tesla, peneraju pasaran EV di AS.
Pertelingkahan kembali tercetus apabila Musk mengkritik rang undang-undang tersebut dan mengugut untuk menubuhkan parti politik baharu bagi menentang ahli politik yang menyokong langkah tersebut.
Walaupun Musk secara terbuka menyokong pengurangan subsidi kerajaan, Tesla telah menerima berbilion dolar dalam bentuk insentif sejak sedekad lalu, termasuk kredit pelepasan karbon dan kontrak kerajaan bernilai AS$22 bilion menerusi SpaceX.
“Dia kecewa kerana hilang mandat EV... tapi dia mungkin akan kehilangan lebih banyak daripada itu,” kata Trump kepada media.
“Tiada lagi pelancaran roket, satelit atau produksi kereta elektrik negara kita akan jimat berbilion,” tambah Presiden Trump di platform Truth Social.
Dalam masa sama, Trump turut menyindir agensi yang pernah diterajui Musk — Jabatan Kecekapan Kerajaan Amerika Syarikat (DOGE) - perlu “kembali dan makan Elon.”
“Saya secara literal menyuruh potong semuanya. Sekarang", respons Musk di platform X.
Saham Tesla jatuh 5.5 peratus pada Selasa.
Kejatuhan ini berlaku ketika prestasi jualan Tesla global terus mencabar dan pelabur mula gusar terhadap nasib program roboteksi syarikat itu yang masih menunggu kelulusan peraturan untuk pengeluaran tanpa stereng dan pedal.
Menurut J.P. Morgan, penghapusan kredit cukai EV sahaja boleh menyebabkan Tesla kehilangan sehingga AS$1.2 bilion, bersamaan 17 peratus daripada pendapatan operasi 2024. - Agensi