BERLIN: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran undang-undang antitrust selepas beberapa penyiar menghentikan sementara liputan mengenai Presiden Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
The New York Times dan beberapa media lain melaporkan lewat Sabtu bahawa siasatan itu membabitkan penyiar dalam kumpulan liputan televisyen Rumah Putih, iaitu ABC, CBS, CNN, NBC dan Fox News.
Memetik enam individu yang mengetahui tindakan jabatan itu, laporan berkenaan menyatakan Jabatan Kehakiman menghubungi media terbabit pada Jumaat dan meminta dokumen berkaitan kumpulan liputan itu.
Liputan televisyen mengenai program dan lawatan Trump diatur menerusi sistem giliran yang membabitkan penyiar televisyen utama. Penyiar berkenaan lazimnya menyediakan rakaman mereka untuk digunakan oleh organisasi media lain. Sistem perkongsian liputan itu turut membolehkan kos dikongsi antara organisasi media.
Pada September, pertikaian Trump dengan media arus perdana AS semakin memuncak susulan tindakan menyingkirkan CNN, MS NOW dan Politico dari Rumah Putih.
Ketiga-tiga organisasi media itu mengambil tindakan undang-undang terhadap larangan berkenaan, manakala penyiar lain dalam kumpulan liputan itu menghentikan sementara liputan mengenai Trump sebagai tanda protes. Rumah Putih kemudiannya melancarkan saluran dalam taliannya sendiri, "Trump TV".
Memetik kenyataan jurucakap Jabatan Kehakiman, beberapa media kini melaporkan bahawa tindakan boikot secara bersama dalam kalangan pesaing komersial boleh melanggar undang-undang utama antitrust.
Selepas menyatakan penyiar berkenaan "secara terbuka berbangga memboikot liputan acara Rumah Putih", jurucakap itu, Emily Covington, dilaporkan berkata "Bahagian Antitrust hanya menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada organisasi berita berkenaan melanggar undang-undang antitrust".
-- BERNAMA-dpa