Apa Anda Dapat daripada Belanjawan 2026? Semak Di Sini!
DUNIA

Pertukaran tahanan Israel-Palestin hari ini

Astro Awani 13/10/2025 | 02:30 MYT
Israel jangka 20 tebusan hidup diserahkan kepada Palang Merah, manakala hampir 2,000 tahanan Palestin akan dibebaskan selepas pengesahan pemindahan selesai. - Foto X/April
GAZA: Proses pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas dijangka berlangsung dalam beberapa jam akan datang, menjelang tarikh akhir tengah hari seperti yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan oleh Presiden Donald Trump.


Ringkasan AI
  • Pertukaran tahanan Israel-Hamas dijangka bermula pagi Isnin, menjelang tarikh akhir tengah hari di bawah perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan Presiden Trump.
  • Israel jangka 20 tebusan hidup diserahkan kepada Palang Merah, manakala hampir 2,000 tahanan Palestin akan dibebaskan selepas pengesahan pemindahan selesai.
  • Hamas dijangka turut serah mayat puluhan tahanan dan seorang tentera Israel, namun proses penyerahan mayat mungkin ambil masa beberapa hari.


Jurucakap pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memaklumkan kepada agensi berita AFP bahawa Israel menjangkakan kesemua 20 tahanan yang masih hidup akan diserahkan kepada Palang Merah di Gaza pada awal pagi Isnin.

Menurut laporan Ynet News, pegawai tentera Israel menjangka pembebasan akan berlaku antara jam 8 pagi hingga 10 pagi waktu tempatan, berkemungkinan di salah satu daripada tiga lokasi penyerahan di selatan, tengah dan utara Gaza.

Keluarga tahanan telah diminta hadir di pangkalan Re’im di selatan Israel pada jam 7.30 pagi waktu tempatan, di mana tahanan akan menjalani pemeriksaan perubatan awal selepas dibebaskan.

AFP turut melaporkan bahawa hampir 2,000 tahanan dan banduan Palestin akan dibebaskan sebaik sahaja Israel menerima pengesahan bahawa semua tebusan telah melintasi sempadan ke wilayah Israel.

Hamas dijangka turut menyerahkan mayat puluhan tahanan yang terkorban semasa dan selepas serangan pada 7 Oktober 2023.

Ynet melaporkan bahawa proses penyerahan mayat dijangka bermula hari ini, namun mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diselesaikan sepenuhnya.

Selain itu, Hamas juga dijangka menyerahkan mayat seorang anggota tentera Israel yang terbunuh dalam konflik pada tahun 2014, menurut sumber AFP.






#pertukaran tahanan #Israel #Hamas #gencatan senjata