KUALA LUMPUR: Perjalanan udara telah mencatatkan pertumbuhan permintaan yang kukuh bagi Mac 2023, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Angka trafik pada Mac 2023 (diukur dalam perolehan penumpang kilometer atau RPK) meningkat 52.4 peratus berbanding Mac 2022 manakala di peringkat global, trafik kini pada 88.0 peratus daripada paras Mac 2019.

"Trafik domestik untuk Mac menokok 34.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jumlah trafik domestik Mac 2023 berada pada 98.9 peratus daripada tahap Mac 2019," kata IATA dalam satu kenyataan pada Khamis.

IATA menjelaskan trafik antarabangsa naik 68.9 peratus berbanding Mac 2022 dengan semua pasaran merekodkan pertumbuhan sihat, diterajui sekali lagi oleh syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik.

RPK antarabangsa mencapai 81.6 peratus daripada paras Mac 2019 manakala faktor muatan pada 81.3 peratus melebihi paras Mac 2019 sebanyak 10.1 mata peratusan, katanya.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata suku pertama tahun kalendar berakhir dengan nota yang kukuh bagi permintaan perjalanan udara dan pasaran domestik telah menghampiri paras pra-pandemik mereka selama berbulan-bulan.

Beliau berkata dua titik langkah utama dicatatkan bagi perjalanan antarabangsa iaitu permintaan melonjak sebanyak 3.5 mata peratusan berbanding pertumbuhan bulan sebelumnya, untuk mencapai 81.6 peratus daripada paras sebelum COVID-19.

"Ini diterajui oleh permintaan yang hampir tiga kali ganda bagi syarikat penerbangan Asia Pasifik yang terkait dengan pembukaan semula China dan kecekapan yang semakin meningkat apabila faktor muatan antarabangsa mencecah 81.3 peratus," kata Walsh.

Katanya, lebih penting lagi, jualan tiket bagi perjalanan domestik dan antarabangsa memberi petunjuk bahawa pertumbuhan kukuh akan berterusan memasuki kemuncak musim perjalanan musim panas Hemisfera Utara.

Sementara itu, IATA berkata syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan peningkatan sebanyak 283.1 peratus pada Mac 2023 berbanding Mac 2022, meneruskan momentum kukuh sejak berakhirnya sekatan perjalanan di rantau ini.

Kapasiti bertambah 161.5 peratus dan faktor muatan naik 26.8 mata peratusan kepada 84.5 peratus, kedua tertinggi di kalangan rantau.

-- BERNAMA