Skip to main content

Dunia

Pertumbuhan sektor pembuatan Thailand perlahan pada April susulan konflik Asia Barat

manufacturing sector_Unsplash
Phil Smith berkata sektor pembuatan Thai mula merasai kesan berkaitan konflik di Asia Barat, terutamanya menerusi gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos input. - Gambar hiasan

BANGKOK: BANGKOK, 5 Mei (Bernama-Xinhua) -- Sektor pembuatan Thailand berkembang bagi bulan ke-12 berturut-turut pada April, namun pada kadar yang lebih perlahan disebabkan tekanan kos yang meningkat ekoran konflik di Asia Barat, menurut satu tinjauan pada Selasa, lapor Xinhua.

 Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan negara Asia Tenggara itu berada pada tahap 52.7 bulan lepas, turun berbanding 54.1 pada Mac, angka itu menunjukkan peningkatan kukuh dalam keadaan operasi keseluruhan, namun ia merupakan bacaan terendah sejak Julai tahun lepas, menurut  S&P Global. 

Advertisement

Bacaan PMI melebihi 50 menunjukkan pengembangan dalam sektor pembuatan, manakala bacaan di bawah 50 mencerminkan penguncupan.

Tahap pengeluaran terus meningkat pada April, melanjutkan tempoh pertumbuhan yang bermula sejak Februari tahun lepas, dengan firma-firma menyatakan usaha untuk memenuhi peningkatan aliran perniagaan baharu, kata S&P Global dalam satu kenyataan.

Meskipun terdapat peningkatan dalam kedua-dua output dan pesanan baharu, momentum itu perlahan sebahagiannya disebabkan oleh pengecilan kuasa beli dalam kalangan pelanggan, menurut kenyataan itu.

Pengarah Bersekutu Ekonomi di S&P Global Market Intelligence, Phil Smith berkata sektor pembuatan Thai mula merasai kesan berkaitan konflik di Asia Barat, terutamanya menerusi gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos input.

Smith berkata selepas hampir dua tahun harga stabil, kenaikan mendadak harga minyak dan bahan api telah mencetuskan tekanan inflasi, yang seterusnya meningkatkan kos bahan mentah dan pengangkutan.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun pertumbuhan pengeluaran kekal teguh, usaha pengumpulan stok bagi menangani lonjakan harga dan gangguan bekalan pada masa hadapan mungkin memberi sokongan sementara kepada output pada April, sekali gus memberi isyarat kepada potensi kelembapan akan datang.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video