INTERNATIONAL
Perubahan iklim cabaran terbesar di Asia Tenggara, atasi isu ekonomi - Tinjauan
Selain isu perubahan iklim, prospek ekonomi yang lembab kekal dan kebimbangan terhadap ketegangan ekonomi yang semakin meningkat antara kuasa besar juga menjadi cabaran buat Asia Tenggara. - Bernama
SINGAPURA: Majoriti rakyat Asia Tenggara (55.3 peratus) menyatakan bahawa perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem kini menjadi cabaran terbesar rantau itu, mengatasi pengangguran dan kemelesetan ekonomi yang mendahului senarai berkenaan sejak dua tahun lepas, menurut laporan tinjauan yang dikeluarkan pada Khamis.
"State of Southeast Asia Survey 2025" yang dijalankan oleh Pusat Kajian ASEAN di ISEAS - Institut Yusof Ishak dari 3 Jan hingga 15 Feb melibatkan 2,023 responden dari 10 negara anggota ASEAN, mendedahkan bahawa perubahan iklim merupakan cabaran utama bagi empat negara.
Filipina dan Vietnam, yang terletak dalam laluan taufan kuat meletakkan perubahan iklim sebagai kebimbangan utama dengan markah masing-masing 70.9 peratus dan 70.3 peratus. Malaysia berada di tempat ketiga dengan 55 peratus diikuti Thailand (54.6 peratus).
Prospek ekonomi yang lembap kekal di tempat kedua sebagai cabaran terbesar di rantau itu (49.3 peratus), diikuti rapat oleh kebimbangan terhadap ketegangan ekonomi yang semakin meningkat antara kuasa besar (48.3 peratus).
Sementara itu, lebih separuh daripada responden (51.6 peratus) menyenaraikan tingkah laku agresif di Laut China Selatan sebagai kebimbangan geopolitik utama mereka, mengatasi konflik Israel-Hamas yang menduduki tempat teratas tahun lepas. Ini diikuti oleh operasi penipuan global (48.1 peratus) dan kepimpinan baharu Amerika Syarikat (46.9 peratus).
Dalam menghadapi peningkatan perlindungan perdagangan dan nasionalisme di seluruh dunia, 40.2 peratus responden memilih untuk mempercepat integrasi serantau ASEAN dalam kalangan negara anggota.
Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) - yang disebut-sebut sebagai perjanjian ekonomi digital serantau pertama di dunia - merupakan alat penting bagi integrasi serantau ASEAN, dengan lebih satu pertiga responden kekal optimis bahawa DEFA dapat meningkatkan keupayaan digital dan memperkukuh perdagangan digital di rantau ini.
Bercakap pada pelancaran laporan itu menerusi webinar, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kajian Amerika Syarikat Dr Michael Green berkata berdasarkan pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai tarif pada Rabu, beliau bersetuju dengan sentimen responden.
"Jadi, apa yang harus ASEAN lakukan? Saya rasa responden betul. Kita menentang perlindungan perdagangan dengan liberalisasi perdagangan, liberalisasi perdagangan di seluruh ASEAN... serta perjanjian dengan Eropah, Jepun, Australia, India jika boleh.
"Jadi, saya percaya responden betul,Tetapi ia bukan sesuatu yang mudah kerana apabila perlindungan perdagangan menjadi isu utama, ia memerlukan kepimpinan politik yang teguh untuk mendorong liberalisasi perdagangan. Jadi, ini adalah jawapan yang tepat, tetapi sukar untuk dilaksanakan," katanya.
Tinjauan itu turut mendapati bahawa AS telah mengatasi China sebagai pilihan utama (52.3 peratus) sekiranya rantau itu terpaksa menyebelahi satu daripada dua pesaing strategik berkenaan.
Namun, China kekal sebagai kuasa ekonomi paling berpengaruh (56.4 peratus) dan politik-strategik (37.9 peratus) di rantau ini, mengatasi AS dengan margin ketara, walaupun pengaruh keseluruhan China dalam bidang ekonomi dan politik-strategik menunjukkan sedikit penurunan.
Jepun kekal sebagai kuasa besar paling dipercayai di Asia Tenggara (66.8 peratus), meningkat daripada 58.9 peratus tahun lepas, diikuti Kesatuan Eropah (51.9 peratus) yang mengatasi AS (47.2 peratus) pada tahun ini.
Lebih dekat dengan rantau itu, krisis politik dan kemanusiaan Myanmar yang berlarutan terus mencabar perpaduan ASEAN, dengan satu pertiga responden menyokong penglibatan ASEAN dalam dialog bebas dengan semua pemegang kepentingan utama.
Sementara itu, lebih daripada dua perlima responden mahu kemasukan Timor-Leste ke ASEAN diteruskan pada kadar semasa.
-- BERNAMA