DAVOS : Perubahan iklim boleh menyebabkan kematian kira-kira 14.5 juta penduduk dunia menjelang tahun 2050 selain mengakibatkan penyakit serius dan peningkatan kos sistem penjagaan kesihatan yang mencecah sehingga US$1.1 trilion.

Menurut laporan bersama oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang diadakan di Davos minggu ini dan firma perunding Oliver Wyman risiko terbesar adalah disebabkan oleh banjir, lapor Agensi Berita Jermah (dpa).

Penulis kajian menganalisis enam akibat utama perubahan iklim iaitu banjir, kemarau, gelombang haba, ribut tropika, kebakaran hutan dan peningkatan paras laut.

Kajian itu berdasarkan senario Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) untuk kenaikan suhu menjelang tahun 2100 yang menganggarkan peningkatan suhu purata sebanyak 2.7 darjah Celsius.

Banjir didapati menjadi penyumbang utama kematian penduduk menjelang 2050 iaitu sebanyak 8.5 juta orang terutamanya di rantau Asia-Pasifik diikuti kemarau (3.2 juta kematian) dan gelombang haba (kira-kira 1.6 juta kematian)

Bagaimanapun menurut kajian itu, secara keseluruhan kawasan di Afrika, Asia Barat dan Asia akan terjejas terutamanya oleh akibat masalah kesihatan kerana perubahan iklim.

Keputusan laporan itu akan dibincangkan di WEF di Davos pada Khamis.

-- BERNAMA