DUNIA

Perubahan tanah akibat La Nina ancam kediaman di Australia - Kajian

Bernama 12/09/2025 | 01:00 MYT
Sedikit perubahan dalam kitaran iklim boleh mengakibatkan keretakan, mendapan atau kos pembaikan yang tinggi, kata Profesor UniSA Simon Beecham. - Foto University of South Australia
CANBERRA: Kitaran La Nina yang semakin kerap di Australia membawa hujan lebat yang menjejaskan kestabilan tanah, sekali gus mengancam kediaman serta infrastruktur, menurut kajian terbaharu, lapor Xinhua.

Hujan berpanjangan akibat La Nina meningkatkan fenomena kembang-kecut pada tanah liat, yang boleh melemahkan asas bangunan, meretakkan paip dan merosakkan jalan raya, menurut kenyataan Universiti of South Australia (UniSA) pada Khamis.

Tanah liat berkenaan mengembang berulang kali apabila basah dan mengecut apabila kering, menyebabkan pergerakan tanah yang semakin teruk dan meluas, menurut kenyataan itu.

Para penyelidik menganalisis lebih 100 tahun data hujan dan iklim, yang menunjukkan fenomena La Nina berulang dengan kerap pada akhir abad ke-20, kemudian berkurangan, sebelum kembali meningkat dalam tempoh 25 tahun kebelakangan ini.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Environmental Management itu turut mendapati tanah liat mudah mengembang dan menguncup dengan perubahan hujan bukan sahaja ketika kitaran La Nina, tetapi juga semasa El Nino.

Fenomena La Nina yang berlaku sejurus berakhirnya Kemarau Milenium di Australia (1997-2009) telah menyebabkan tanah mengembang sehingga merosakkan ribuan rumah yang dibina semasa tempoh kemarau itu.

"Malah sedikit perubahan dalam kitaran iklim boleh mengakibatkan keretakan, mendapan atau kos pembaikan yang tinggi," kata penulis bersama, Profesor UniSA Simon Beecham.

Beliau menggesa agar perubahan iklim diberi perhatian segera dalam strategi pembangunan, sambil memberi amaran ia boleh menjejaskan banyak kediaman di Australia tetapi masih kurang diberi perhatian setakat ini.

-- BERNAMA


#El Nino #Australia #La nina #hujan lebat