Pesalah keganasan rumah tangga di Jerman akan dipakaikan peranti elektronik di kaki

Mangsa keganasan rumah tangga akan menerima amaran melalui peranti mereka sendiri jika pesalah menghampiri mereka, manakala polis juga akan dimaklumkan. - Foto frauenhauskoordinierung
BERLIN: Kerajaan Jerman meluluskan satu Rang Undang-Undang pada Rabu yang akan membenarkan mahkamah mewajibkan pesalah keganasan rumah tangga memakai peranti elektronik di buku lali mereka, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Kebimbangan utama kami ialah untuk melindungi wanita khususnya daripada keganasan rumah tangga," kata Menteri Kehakiman Stefanie Hubig kepada saluran n-tv selepas keputusan Kabinet itu dicapai.
Rang Undang-Undang itu, yang memerlukan kelulusan Parlimen, akan membolehkan mahkamah keluarga memerintahkan pesalah memakai peranti itu dalam kes berisiko tinggi.
Mangsa keganasan rumah tangga akan menerima amaran melalui peranti mereka sendiri jika pesalah menghampiri mereka, manakala polis juga akan dimaklumkan.
Pembaharuan yang dirancang terhadap Akta Perlindungan Daripada Keganasan itu turut membolehkan mahkamah mewajibkan pesalah menghadiri kursus latihan sosial atau kaunseling pencegahan keganasan selepas serangan atau ancaman serius.
Beberapa negeri di Jerman sudah pun menguatkuasakan penggunaan peranti terbabit untuk perlindungan daripada keganasan rumah tangga.
Hukuman bagi pelanggaran juga akan dipertingkat, dengan tempoh maksimum penjara dinaikkan daripada dua kepada tiga tahun.
Perancangan kerajaan itu berasaskan model Sepanyol yang turut dilaksanakan di Perancis dan Switzerland.
"Kami lihat langkah ini sangat berkesan di Sepanyol," kata Hubig. "Ia benar-benar telah menyelamatkan nyawa."
Wanita merupakan golongan yang paling terkesan oleh keganasan rumah tangga. Menurut data Pejabat Polis Jenayah Persekutuan (BKA), terdapat 171,069 mangsa keganasan rumah tangga pada 2024, dengan 135,713 daripadanya adalah wanita, bersamaan 79.3 peratus.
Hubig turut merancang peraturan tambahan. Antaranya, beliau mahu mahkamah keluarga mengambil kira keganasan rumah tangga terhadap ibu ketika memutuskan hak penjagaan dan lawatan anak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


