DUNIA

Pesawat Angara Airlines sah terhempas, fiuslaj ditemukan terbakar di kawasan pergunungan

Astro Awani 24/07/2025 | 08:00 MYT
Fiuslaj pesawat Antonov An-24 milik Angara Airlines yang hilang ditemukan terbakar di kawasan pergunungan berhampiran Tynda, Wilayah Amur, Rusia. -Foto X @Airways_cz
MOSCOW: Pasukan penyiasat Rusia mengesahkan penemuan fiuslaj pesawat penumpang jenis Antonov An-24 milik Angara Airlines yang hilang daripada radar ketika menghampiri bandar Tynda di Wilayah Amur, menurut kenyataan Kementerian Kecemasan Rusia pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Fiuslaj pesawat Antonov An-24 milik Angara Airlines yang hilang telah ditemui terbakar di kawasan pergunungan berhampiran Tynda, Wilayah Amur, Rusia.
  • Pesawat yang membawa 43 penumpang termasuk anak kapal dan kanak-kanak dipercayai hilang selepas percubaan kedua untuk mendarat dalam cuaca buruk; tiada mangsa dilaporkan terselamat.
  • Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, dan siasatan jenayah telah dilancarkan berhubung kemungkinan pelanggaran peraturan keselamatan penerbangan.


“Helikopter MI-8 yang dikendalikan oleh Rosaviatsiya telah mengesan fiuslaj pesawat yang terbakar di kawasan pergunungan kira-kira 16 kilometer dari Tynda,” kata jurucakap kementerian, sambil menambah bahawa pasukan penyelamat sedang menuju ke lokasi kejadian.

Pesawat tersebut yang membawa 43 penumpang termasuk lima kanak-kanak dan enam anak kapal dipercayai hilang selepas percubaan kedua untuk mendarat dalam keadaan cuaca buruk.

Tiada mangsa dilaporkan terselamat setakat ini.

Gabenor Wilayah Amur, Vasily Orlov berkata semua sumber dan aset kecemasan telah digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat.

Pihak berkuasa turut melancarkan siasatan jenayah berhubung kemungkinan pelanggaran peraturan keselamatan penerbangan.

Pesawat dalam penerbangan dari Blagoveshchensk ke Tynda selepas berlepas dari Khabarovsk itu hilang daripada radar ketika menghampiri destinasi terakhirnya berhampiran sempadan China.






#pesawat penumpang #Antonov An-24 #pesawat terhempas #Angara Airlines