Pesawat tentera Algeria terhempas, lebih 250 dilaporkan terbunuh

Reuters
April 11, 2018 10:06 MYT
Pihak berkuasa dan keselamatan sudah mengerumuni di kawasan nahas untuk menjalankan tugas mereka. - AP
Lebih daripada 250 orang termasuk anggota pergerakan kebebasan Polisario di Sahara Barat dilaporkan terbunuh apabila sebuah pesawat tentera terhempas di sebuah kawasan lapang di pinggir ibu negara Algeria pada Rabu.
Siaran televisyen menunjukkan orang ramai berada di lokasi nahas, dengan bangkai pesawat yang masih terbakar di lapangan terbang Boufarik, di barat daya Algiers.
Kementerian Pertahanan Algeria mengesahkan, pesawat itu dijadual berlepas ke Tindouf, iaitu sebuah kawasan di sempadan Algera-Sahara Barat, namun terhempas di dalam perimeter lapangan terbang tersebut.
Sebuah stesen televisyen tempatan melaporkan sejumlah 257 orang terkorban dalam nahas itu.
Deretan beg mayat juga dapat dilihat sudah disusun di atas tanah di lokasi berkenaan, dengan latar kepulan asap hitam dilihat berhampiran lebuh raya dan ramai pegawai keselamatan serta orang awam berdiri di seberang tapak kemalangan.
Seorang anggota parti pemerintah Algeria, FLN, memberitahu stesen televisyen Ennahar bahawa antara yang maut termasuk 26 anggota Polisario, iaitu kumpulan sokongan Algeria yang berjuang demi pembebasan Sahara Barat, iaitu wilayah yang juga dimahukan Maghribi sejak sekian lama.
#Algiers #Anggota tentera #Boufarik #pesawat #tentera Algeria #terhempas