DUNIA

Pesawat Tentera Laut Mexico terhempas di Texas, lima maut, seorang hilang

Astro Awani 23/12/2025 | 05:40 MYT
Petugas kecemasan membawa mangsa nahas menaiki ambulans berhampiran tambak di Galveston, Texas, AS pada Isnin, 22 Disember 2025. -Foto AP
GALVESTON: Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala seorang lagi masih hilang selepas pesawat milik Tentera Laut Mexico terhempas di perairan berhampiran Galveston, Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin ketika menjalankan misi kemanusiaan pemindahan perubatan.


Ringkasan AI
  • Pesawat Tentera Laut Mexico terhempas di perairan Galveston, Texas, AS, semasa misi kemanusiaan pemindahan perubatan, menyebabkan lima maut dan seorang hilang.
  • Pesawat Beechcraft King Air 350i membawa lapan individu, termasuk empat anggota tentera dan empat orang awam, dalam perjalanan dari Merida, Yucatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Scholes, Galveston.
  • Operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh Pengawal Pantai AS dengan bantuan bot dan helikopter.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menurut kenyataan rasmi Tentera Laut Mexico, pesawat jenis Beechcraft King Air 350i itu membawa lapan individu — empat anggota tentera dan empat orang awam termasuk seorang kanak-kanak — dalam penerbangan dari Mérida, Yucatán menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Scholes, Galveston.

Pesawat dilaporkan terhempas sekitar 3.15 petang waktu tempatan berhampiran Galveston Causeway ketika menghampiri kawasan pendaratan.

Misi tersebut dijalankan dengan kerjasama sebuah yayasan kebajikan Mexico bagi membantu kanak-kanak yang mengalami kecederaan melecur serius mendapatkan rawatan di hospital di Galveston.

Daripada lapan penumpang, lima disahkan maut, dua terselamat dan seorang lagi masih belum ditemui. Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat dengan bantuan bot dan helikopter.

Pihak berkuasa Mexico dan Amerika Syarikat kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas. Tiada maklumat lanjut mengenai identiti mangsa setakat ini.

Insiden ini turut mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan dan persekutuan, termasuk Jabatan Polis Galveston dan Agensi Pengurusan Kecemasan Texas, yang segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan kecemasan dan menyelaras operasi menyelamat.

Tentera Laut Mexico dalam kenyataannya menzahirkan rasa dukacita atas tragedi tersebut dan menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa serta meneruskan siasatan secara menyeluruh.






Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah bilangan individu yang terlibat dalam pesawat Tentera Laut Mexico yang terhempas di Galveston, Texas?
    A: Pesawat tersebut membawa lapan individu, termasuk empat anggota tentera dan empat orang awam.
  • Q: Apa tujuan misi pesawat tersebut sebelum berlaku nahas?
    A: Pesawat menjalankan misi kemanusiaan pemindahan perubatan dari Mérida, Yucatán ke Lapangan Terbang Antarabangsa Scholes, Galveston.
  • Q: Siapakah yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat selepas kejadian?
    A: Operasi tersebut dijalankan oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat dengan bantuan bot dan helikopter.



#Pesawat Tentera Laut Mexico #pesawat terhempas #perairan Galveston Texas #pemindahan perubatan #Beechcraft King Air 350i