DUNIA

Pesawat tentera Turkiye terhempas di Georgia tanpa hantar isyarat kecemasan

Bernama 13/11/2025 | 09:16 MYT
Serpihan pesawat akan dihantar ke pangkalan udara Erkilet di Kayseri untuk siasatan teknikal. -Gambar fail/Reuters
ANKARA: Sebuah pesawat tentera Turkiye yang terhempas di Georgia tidak sempat menghantar sebarang isyarat kecemasan sebelum kejadian, dan serpihannya akan dibawa ke pangkalan udara Erkilet di Kayseri, Turkiye, untuk siasatan teknikal, lapor akhbar prokerajaan Turkiye pada Khamis dengan memetik sumber tidak dinamakan, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.


Ringkasan AI
  • Pesawat pengangkut tentera Lockheed C-130 Hercules milik Turkiye terhempas di Georgia tanpa sempat menghantar isyarat kecemasan; serpihan akan dihantar ke pangkalan udara Erkilet di Kayseri untuk siasatan teknikal.
  • Presiden Recep Tayyip Erdogan mengesahkan 19 mangsa ditemukan; rakaman video menunjukkan ekor pesawat tercabut sebelum badan utama berasap dan menjunam ke tanah.
  • Analisis kotak hitam dan komunikasi kru dijangka dedah punca; kebakaran hanya berlaku selepas pesawat terhempas disertai letupan.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Pada Selasa, Kementerian Pertahanan Turkiye berkata pesawat pengangkut tentera Lockheed C-130 Hercules telah terhempas di Georgia.

Pada Rabu, Presiden Recep Tayyip Erdogan memaklumkan bahawa mayat 19 mangsa yang terkorban dalam nahas itu telah ditemukan.

Beberapa rakaman video yang dilaporkan dirakam oleh seorang pengembala dan dikongsi di media sosial menunjukkan bahagian ekor pesawat itu tercabut terlebih dahulu.

Badan utama pesawat empat enjin itu kemudian kelihatan berasap sebelum berpusing-pusing menjunam ke tanah, lapor akhbar berkenaan.

Analisis terhadap komunikasi radio kru serta data daripada kotak hitam pesawat dijangka akan mendedahkan butiran penting di sebalik kejadian itu, lapor akhbar Turkiye.

Saksi kejadian berkata tiada letupan atau kebakaran berlaku semasa pesawat itu masih di udara. Kebakaran hanya tercetus selepas ia terhempas, disertai dengan satu letupan, menurut laporan itu lagi.

-- BERNAMA



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh pihak Turkiye selepas pesawat tentera terhempas di Georgia?
    A: Pesawat terhempas akan dibawa ke pangkalan udara Erkilet di Kayseri, Turkiye, untuk siasatan teknikal.
  • Q: Berapakah jumlah mangsa yang ditemui dalam nahas pesawat tentera yang terhempas di Georgia?
    A: Terdapat 19 mayat mangsa yang telah ditemui.
  • Q: Apakah yang dikongsikan oleh saksi kejadian mengenai kejadian nahas pesawat tersebut?
    A: Saksi kejadian melaporkan bahawa tiada letupan atau kebakaran berlaku semasa pesawat itu masih di udara, kebakaran hanya berlaku selepas pesawat terhempas.



#Pesawat tentera Turkiye #pesawat terhempas #Georgia #ekor pesawat tercabut