RIGA (LATVIA): Pesuruhjaya Ekonomi Kesatuan Eropah (EU) Valdis Dombrovskis pada Jumaat menegaskan pendiriannya menolak pelonggaran sekatan terhadap Rusia, termasuk ke atas eksport minyak negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Jelas bahawa sekarang bukan masa untuk melonggarkan tekanan terhadap Rusia. Kita perlu terus memberi tekanan dan mengenakan sekatan ke atas Rusia,” kata Dombrovskis di luar Mesyuarat Tahunan Bank Eropah bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD) di Riga.
Pegawai kelahiran Latvia itu berkata langkah berkenaan penting meskipun ia “bukan tugas mudah” memandangkan keputusan dalam EU memerlukan persetujuan sebulat suara.
Bagaimanapun, menurut beliau, terdapat inisiatif daripada beberapa negara anggota untuk mengenakan sekatan perdagangan tambahan dan sekatan visa terhadap rakyat Rusia.
EU setakat ini telah mengenakan 20 pusingan sekatan terhadap Rusia sejak negara itu melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas negara jiran Ukraine pada Februari 2022.
-- BERNAMA-dpa