DUNIA

Petisyen bantah kad pengenalan digital di UK cecah lebih 1.5 juta tandatangan

Bernama 28/09/2025 | 00:30 MYT
Perdana Menteri Britain Keir Starmer. - Gambar fail/REUTERS
LONDON: Satu petisyen mendesak Kerajaan United Kingdom (UK) supaya tidak memperkenalkan kad pengenalan digital telah menerima lebih 1.5 juta tandatangan, lapor PA Media/dpa.

Perdana Menteri Keir Starmer pada Jumaat mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan sistem pengenalan diri baharu menjelang 2029 yang akan diwajibkan untuk individu bekerja di UK.

Petisyen itu menggesa kerajaan supaya tidak melaksanakan kad pengenalan digital, dengan menyatakan: "Kami percaya langkah ini akan membuka jalan ke arah pengawasan massa dan kawalan digital, dan tiada sesiapa harus dipaksa mendaftar dengan sistem ID yang dikawal kerajaan."

Ia menerima lebih 6,800 tandatangan dalam tempoh sejam pada pagi Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 1,564,000 tandatangan.

Menurut peraturan, petisyen di laman sesawang Kerajaan UK yang menerima lebih 100,000 tandatangan akan dipertimbangkan untuk dibahaskan.

Ketua Parti Reform UK, Nigel Farage, mengkritik rancangan itu dengan menyifatkannya sebagai "kad anti-British."

Dalam tulisannya di Akhbar Daily Express, beliau berkata: "Rancangan Kerajaan Parti Buruh untuk mengenakan kad pengenalan digital kepada semua orang dewasa tidak akan membantu menangani imigresen haram. Tetapi ia akan memberi kerajaan lebih kuasa untuk mengawal rakyat Britain."

Menteri-menteri sebelum ini berkata kad itu hanya diperlukan sebagai bukti seseorang mempunyai hak untuk bekerja di UK dan sebagai sebahagian daripada usaha membanteras pendatang haram.

Namun Darren Jones, Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri yang mengetuai dasar itu, mencadangkan kad pengenalan digital boleh mempunyai kegunaan yang lebih meluas pada masa depan.

Beliau memberitahu Sidang Kemuncak Global Progress Action di London: "Jika kita dapat melaksanakan sistem pengenalan digital ini dengan sokongan awam, ia akan menjadi asas kepada negara moden dan membolehkan pembaharuan perkhidmatan awam yang benar-benar menarik pada masa hadapan."

Terdahulu, Starmer memberitahu persidangan sama bahawa kad pengenalan digital akan membantu meyakinkan pengundi bahawa sistem imigresen adalah "adil," dengan berkata: "Orang yang baik, pragmatik dan berfikiran adil mahu kami menangani isu-isu yang mereka lihat di sekeliling mereka."

Kad pengenalan itu akan disimpan dalam telefon pintar dan orang ramai tidak diwajibkan untuk membawanya atau menunjukkannya.

--BERNAMA-PA Media/dpa



TAG: Britain, kad digital ID, petisyen, bantahan, pengawasan massa

#Keir Starmer #United Kingdom #kad pengenalan digital #petisyen