DUNIA

Pezeshkian gesa SCO ambil langkah tegas untuk keamanan global, kerjasama ekonomi

Bernama 01/09/2025 | 21:00 MYT
Presiden Pezeshkian menggesa Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) mengambil langkah tegas dan telus bagi memupuk keamanan global serta memperkukuh kerjasama ekonomi. - Gambar Reuters
TIANJIN, CHINA: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menggesa Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) mengambil langkah tegas dan telus bagi memupuk keamanan global serta memperkukuh kerjasama ekonomi, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).

Pezeshkian yang tiba di Tianjin pada Ahad, menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Ketua Negara SCO ke-25 pada Isnin, dengan menekankan peranan organisasi itu dalam membentuk orde dunia multipolar.

Beliau menggesa negara anggota melaksanakan strategi selari dalam usaha membina keamanan dan integrasi kewangan.

Bagi menangkis kesan sekatan unilateral, Pezeshkian mencadangkan penubuhan akaun khas SCO dan mekanisme penyelesaian.

Inisiatif itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dengan menggalakkan penyelesaian perdagangan menggunakan mata wang tempatan.

Cadangan itu turut merangkumi pembangunan infrastruktur digital bersama serta penggunaan mata wang digital bank pusat bagi memastikan transaksi lebih selamat dan pantas.

Pelan berkenaan juga termasuk penubuhan dana pertukaran mata wang pelbagai hala untuk menyokong negara anggota yang berdepan cabaran kecairan atau tekanan ekonomi luar, katanya.

Pezeshkian turut menyokong cadangan penubuhan pusat khusus bagi memerangi ancaman rentas sempadan seperti penyeludupan dadah dan keganasan.

Beliau juga menyokong penubuhan mekanisme tindak balas pantas bagi menghadapi krisis serta pusat penyelidikan strategik untuk membimbing pembangunan dasar, di samping menggesa peluasan bahasa rasmi organisasi itu bagi menggalakkan keterangkuman dan pertukaran budaya.

Dari segi infrastruktur, Pezeshkian mengumumkan, Pelabuhan Chabahar di Iran akan segera disambungkan ke rangkaian kereta api nasional, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara China, Asia Tengah, Afghanistan dan Lautan Hindi.

Beliau berkata, Iran melihat strategi pembangunan 10 tahun SCO sebagai peluang bersejarah untuk memperdalam kerjasama dalam bidang infrastruktur, teknologi, tenaga, ekonomi digital, perubahan iklim, budaya dan sains.

Ditubuhkan di Shanghai pada 2001, SCO kini mempunyai 10 negara anggota -- China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Pakistan, India, Iran dan Belarus.

-- BERNAMA




#Presiden Iran Masoud Pezeshkian #SCO #langkah tegas #keamanan global