INTERNATIONAL

Philippine Airlines dipanggil berikutan insiden pelencongan penerbangan ke Jepun

Bernama 10/04/2025 | 13:49 MYT
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) dan Lembaga Aeronautik Awam (CAB) diarah supaya mengeluarkan arahan tunjuk sebab kepada PAL. - Reuters
MANILA: Jabatan Pengangkutan (DOTr) Filipina pada Khamis memanggil syarikat penerbangan Philippine Airlines (PAL) untuk memberikan penjelasan berhubung insiden penerbangan PR102 yang dilencongkan ke sebuah lapangan terbang di Jepun, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Dalam satu kenyataan, Setiausaha DOTr Vince Dizon mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) dan Lembaga Aeronautik Awam (CAB) supaya mengeluarkan arahan tunjuk sebab kepada PAL bagi menjelaskan insiden berkenaan serta memastikan pampasan diberikan kepada penumpang yang terjejas.

Dizon turut mengarahkan CAAP untuk menjalankan siasatan berhubung insiden itu.

Pada Rabu, penerbangan PR102 milik PAL yang berlepas menuju Los Angeles, Amerika Syarikat dilencongkan ke Lapangan Terbang Haneda di Jepun susulan pengeluaran asap dari unit penyaman udara pesawat.

Menurut kenyataan PAL, kesemua 355 penumpang yang berada dalam penerbangan bagaimanapun selamat.

Sehingga kini, DOTr bekerjasama dengan pihak Lapangan Terbang Haneda untuk memberikan sokongan kepada penumpang yang terjejas dan memastikan proses turun dari pesawat berjalan dengan selamat.

-- BERNAMA


#philippine airlines #pelencongan penerbangan #tunjuk sebab #pal #pr102 #Jepun