DUNIA

Pihak berkuasa bertungkus-lumus kekang tumpahan minyak kapal kargo karam di perairan Thailand

Bernama 09/02/2026 | 00:20 MYT
Kapal kargo SEALLOYD ARC dimasuki air lalu karam di selatan kawasan tumpuan pelancong di Phuket pada Sabtu. - Facebook MSC Region 3
ISTANBUL: Pihak berkuasa maritim sedang bertungkus-lumus mengekang tumpahan minyak di Laut Andaman selepas sebuah kapal kargo yang mengibarkan bendera Panama karam di luar selatan Phuket, Thailand, ketika dalam pelayaran dari Malaysia ke Bangladesh, lapor Bangkok Post pada Ahad.

Kesemua 16 kru kapal SEALLOYD ARC berjaya diselamatkan dan dibawa ke tempat selamat selepas kapal berkenaan dimasuki air lalu karam di selatan kawasan tumpuan pelancong di Phuket pada Sabtu.

Kapal seberat 4,339 tan itu membawa 297 kontena, termasuk 14 kontena yang mengandungi bahan berbahaya, menurut Pusat Operasi Penguatkuasaan Maritim Thailand. Kesemua kontena karam bersama kapal itu.

Tinjauan udara kemudiannya mengesan tompokan minyak sepanjang kira-kira 7.2 kilometer (km) ke arah barat dengan kelebaran kira-kira 1.6 km. Menurut pegawai, setakat ini tiada tumpahan minyak yang dikesan mencapai garis pantai Phuket.

Pihak berkuasa mengklasifikasikan insiden itu sebagai berskala besar, memandangkan peningkatan risiko alam sekitar serta potensi bahaya terhadap navigasi perkapalan.

-- BERNAMA

#kapal SEALLOYD ARC #Maritim Thailand #tumpahan minyak #kapal kargo karam