Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Pihak berkuasa India batalkan lesen, tutup kilang ubat batuk selepas kematian kanak-kanak

Bernama 13/10/2025 | 15:09 MYT
Lesen pengilangan milik Sresan Pharmaceuticals, pengeluar ubat batuk Coldrif yang didapati tercemar, dibatalkan. - X @naliniskitchen
NEW DELHI: Kerajaan tempatan di negeri Tamil Nadu, selatan India, pada Isnin mengumumkan pembatalan sepenuhnya lesen pengeluaran sebuah syarikat farmaseutikal yang menghasilkan ubat batuk dan dikaitkan dengan kematian beberapa kanak-kanak di dua negeri, lapor Xinhua.

Kerajaan turut mengarahkan syarikat itu ditutup serta-merta.

Menurut kenyataan rasmi, lesen pengilangan milik Sresan Pharmaceuticals, pengeluar ubat batuk Coldrif yang didapati tercemar, dibatalkan.

"Perintah juga dikeluarkan untuk menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas syarikat pengeluar ubat lain yang beroperasi di Tamil Nadu," menurut kenyataan itu lagi.

Ubat batuk itu didapati mengandungi lebih 45 peratus diethylene glycol, sejenis pelarut industri toksik yang amat berbahaya.

Setakat ini, 24 kematian berkaitan ubat batuk itu disahkan di negeri Madhya Pradesh, tengah India dan tiga kematian lagi dilaporkan di negeri Rajasthan di bahagian barat.

Mangsa adalah kanak-kanak, kebanyakannya berusia bawah lima tahun, yang meninggal dunia dalam tempoh sebulan lepas akibat kegagalan buah pinggang, selepas mengalami komplikasi setelah mengambil ubat batuk itu.

Pihak polis menahan Govindan Ranganathan, 75 tahun pemilik Sresan Pharmaceuticals di kediamannya di Chennai, bersama dua orang pekerjanya pada minggu lepas. .

Govindan menghadapi tuduhan melakukan homisid salah yang boleh dihukum tetapi tidak sampai kepada pembunuhan, selain tuduhan pencemaran ubat-ubatan dan pelanggaran Akta Ubat-Ubatan dan Kosmetik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap kelemahan peraturan keselamatan ubat di India dan memberi amaran yang ubat seperti ini boleh sampai ke negara lain melalui saluran pengedaran tidak terkawal.

--BERNAMA-XINHUA


#Tamil Nadu #India #ubat batuk #kematian kanak-kanak #lesen dibatal #Sresan Pharmaceuticals