[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Pihak berkuasa AS kenal pasti Tyler Robinson sebagai suspek pembunuhan Charlie Kirk

Bernama 12/09/2025 | 21:40 MYT
Foto Tyler Robinson yang dikeluarkan Pejabat Gabenor Utah pada 12 Sept 2025. (Foto AP)
WASHINGTON: Gabenor Utah Spencer Cox pada Jumaat mengenal pasti Tyler Robinson, seorang penduduk asal Utah, sebagai suspek utama dalam kes tembakan maut yang meragut nyawa pengulas konservatif Amerika Syarikat (AS) Charlie Kirk, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kami sudah menahannya. Pada malam 11 Sept, seorang ahli keluarga Tyler Robinson menghubungi rakan keluarga yang kemudian menghubungi Pejabat Syerif Daerah Washington dengan maklumat bahawa Robinson telah mengaku atau memberi bayangan dia melakukan kejadian itu," kata Cox kepada wartawan pada sidang media selepas operasi memburu selama lebih 24 jam.

Cox berkata pihak berkuasa percaya Robinson bertindak bersendirian. Seorang ahli keluarga yang tidak dinamakan memberitahu penyiasat bahawa Robinson menjadi "semakin berpolitik sejak kebelakangan ini."

"Ahli keluarga itu merujuk satu insiden baru-baru ini apabila Robinson datang makan malam sebelum 10 Sept dan dalam perbualan dengan ahli keluarga lain, dia menyebut Charlie Kirk akan datang ke UVU (Utah Valley University).

"Mereka berbincang mengapa mereka tidak menyukainya dan pandangan yang dibawanya. Ahli keluarga itu turut menyatakan Kirk penuh dengan kebencian dan menyebarkan kebencian," katanya.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini berkata bapa suspek memainkan peranan penting dalam penangkapan Robinson.

Robinson ditahan pada 10 malam waktu tempatan (0400GMT), kata Pengarah FBI Kash Patel.

Cox berkata penyiasat meneliti rakaman kamera keselamatan di UVU, lokasi kejadian tembakan pada Rabu, dan mendapati rakaman yang menunjukkan Robinson tiba di kampus lebih awal pada pagi itu.

Rakaman tersebut memaparkan Robinson memakai baju-T berwarna merah manggis, seluar pendek cerah, topi hitam dan kasut berwarna cerah.

Pakaian itu sepadan dengan apa yang dipakai Robinson ketika dia ditahan pada Jumaat.

-- BERNAMA

#Charlie Kirk #Tyler Robinson #Amerika Syarikat #tembakan maut