DUNIA

Pihak berkuasa AS luluskan vaksin COVID-19 terbaharu Moderna

Bernama 31/05/2025 | 21:30 MYT
Vaksin yang diluluskan itu juga boleh digunakan oleh individu berumur antara 12 hingga 64 tahun yang mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kesihatan. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan vaksin COVID-19 terbaharu keluaran Moderna, menurut kenyataan syarikat itu pada Sabtu.

"Moderna, Inc. pada Sabtu mengumumkan bahawa FDA meluluskan mNEXSPIKE [mRNA-1283], vaksin baharu COVID-19 untuk digunakan ke atas semua individu berumur 65 tahun ke atas," menurut kenyataan syarikat itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Vaksin yang diluluskan itu juga boleh digunakan oleh individu berumur antara 12 hingga 64 tahun yang mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kesihatan, seperti yang ditakrifkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), menurut syarikat itu.

Vaksin itu ditujukan kepada mereka yang pernah menerima vaksin COVID-19 sebelum ini.

Moderna merupakan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat yang berpusat di Cambridge, negeri Massachusetts, dengan kepakaran dalam pembangunan vaksin.

Pada Disember 2020, vaksin COVID-19 keluaran syarikat itu diluluskan untuk kegunaan kecemasan di Amerika Syarikat.

-- BERNAMA



#Amerika Syarikat #vaksin #COVID-19 #Moderna