DUNIA

Pihak Berkuasa Palestin, negara Arab kecam rancangan Israel ilhak Tebing Barat

Bernama 05/09/2025 | 06:30 MYT
Pemandangan berdekatan Maale Adumim, sebuah kawasan di Tebing Barat yang diduduki, di mana kerajaan Israel merancang membina unit-unit rumah sebagai sebahagian projek penempatan E1, 21 Ogos 2025. (Foto AP)
ISTANBUL: Pihak Berkuasa Palestin, negara Arab dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Khamis mengecam rancangan Israel untuk mengilhak Tebing Barat yang diduduki, sambil memberi amaran tindakan itu akan meningkatkan ketegangan serantau serta menjejaskan penyelesaian dua negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, mengumumkan hasrat Israel untuk mengilhak 82 peratus daripada Tebing Barat bagi menghalang penubuhan sebuah negara Palestin.

Kementerian Luar Palestin berkata tindakan unilateral Israel, termasuk perluasan penempatan haram dan rampasan tanah, tidak akan memberikan sebarang hak sah terhadap tanah Palestin.

Kenyataan Smotrich itu digambarkan sebagai "ancaman langsung terhadap prospek penubuhan sebuah negara Palestin" dan "lanjutan hasutan sistematik yang bertujuan memperdalam ilhak, pengusiran serta jenayah pemusnahan."

Kementerian Luar Jordan mengecam kenyataan "bersifat perkauman" Smotrich dan "pencerobohannya ke atas wilayah Palestin yang diduduki," sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan cabaran terhadap konsensus global mengenai penyelesaian dua negara.

Jurucakap kementerian, Sufian Qudah, memberi amaran bahawa ketiadaan tindakan akauntabiliti antarabangsa hanya mendorong lebih banyak "kenyataan serta tindakan agresif" oleh pegawai Israel.

Setiausaha Agung GCC Jasem Mohamed Albudaiwi turut mengecam "seruan berbahaya dan provokatif" Smotrich, sambil menegaskan ia mencerminkan dasar Israel yang disengajakan untuk mengganggu kestabilan rantau ini dan menggagalkan usaha damai.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan "segera dan tegas" bagi menghentikan amalan unilateral Israel, sekali gus mengulangi sokongan GCC terhadap pembentukan sebuah negara Palestin merdeka bersempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga memberi amaran terhadap sebarang usaha ilhak Tebing Barat.

Lana Nusseibeh,Timbalan Menteri Luar bagi Hal Ehwal Politik, menyifatkan langkah itu sebagai "garisan merah" dan memberi amaran ia akan "membunuh idea integrasi serantau serta menamatkan penyelesaian dua negara," lapor The Times of Israel.

-- BERNAMA



#Palestin #Israel #Tebing Barat #penempatan haram #Bezalel Smotrich