DUNIA

Pilihan raya Belanda: Rob Jetten anggap kemenangan D66 sebagai detik bersejarah

Astro Awani 30/10/2025 | 02:15 MYT
Rob Jetten, pemimpin parti tengah-kiri D66, berucap di atas pentas semasa pengumuman keputusan tinjauan di lokasi pilihan raya umum di Leiden, Belanda. - Foto AP
LEIDEN: Pemimpin parti tengah Belanda, Rob Jetten, menyifatkan keputusan pilihan raya umum negara itu sebagai bersejarah selepas tinjauan menunjukkan partinya, Demokrat 66 (D66), berada di landasan untuk meraih undi terbanyak, sekali gus menewaskan parti sayap kanan.


Ringkasan AI
  • Tinjauan menunjukkan D66 bakal meraih 27 kerusi, mengatasi Parti Kebebasan pimpinan Geert Wilders yang dijangka memperoleh 25 kerusi.
  • Populariti beliau melonjak hasil kempen yang menekankan isu perumahan, pendidikan dan imigresen, membuka peluang untuk menjadi Perdana Menteri termuda Belanda.
  • Keputusan ini dilihat sebagai penolakan terhadap politik kebencian dan nasionalisme, serta sokongan kepada masa depan yang lebih inklusif dan progresif.


Jetten, 38, menyampaikan ucapan penghargaan kepada para penyokongnya di bandar Leiden sebelum bercakap kepada wartawan.

Berdasarkan dua tinjauan, D66 dijangka memenangi 27 daripada 150 kerusi di Dewan Rendah Parlimen, mengatasi Parti Kebebasan pimpinan Geert Wilders yang diramal memperoleh 25 kerusi.

Populariti Jetten melonjak dalam sebulan terakhir menjelang hari pengundian, hasil kempen yang memberi tumpuan kepada penyelesaian krisis perumahan, pelaburan dalam pendidikan dan isu imigresen.

Kemenangan ini membuka peluang buat Jetten menjadi Perdana Menteri termuda dalam sejarah Belanda, selain menandakan kebangkitan semula D66 yang hanya memenangi sembilan kerusi pada pilihan raya 2023.

Pilihan raya kali ini turut dilihat sebagai tamparan hebat kepada Wilders, yang dikenali dengan retorik anti-imigran dan dasar nasionalisnya.

Jetten menegaskan bahawa rakyat Belanda telah memilih untuk menolak politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menyokong masa depan yang lebih inklusif dan progresif.






#Belanda #Rob Jetten #pilihan raya umum #geert wilders