INTERNATIONAL
Pilihan raya Filipina: Keputusan lebih cepat dijangka susulan penambahbaikan teknologi
Sebahagian daripada para pengundi yang melunaskan tanggungjawab mereka di sebuah pusat pengundian di Quezon City. - AP
MANILA: Rakyat Filipina boleh menjangkakan keputusan pilihan raya diumumkan lebih awal tahun ini susulan penambahbaikan teknologi utama serta usaha oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec) bagi melancarkan proses penghantaran keputusan, menurut sebuah badan pemantau pilihan raya pada Isnin.
Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan jurucakap Majlis Mukim Pastoral untuk Pengundian Bertanggungjawab (PPCRV), Ana Singson berkata, pada sidang media bahawa kelajuan penghantaran keputusan disumbangkan oleh kemajuan teknologi termasuk penggunaan sambungan 5G dan lebih 10,000 terminal Starlink di seluruh negara.
"Secara konsepnya, penghantaran harus lebih pantas," katanya.
PPCRV menjangkakan keputusan awal boleh mula diterima seawal pukul 7.30 malam waktu tempatan, Isnin.
"Mereka menjangkakan dalam beberapa jam, sebahagian besar undi akan diterima, tetapi sudah tentu, kita akan tunggu dan lihat," kata Singson.
Beliau berkata kepantasan penghantaran tidak seharusnya menimbulkan keraguan terhadap ketepatan keputusan.
"Kalau lebih pantas, harap tiada yang berkata 'Kenapa cepat sangat?'. Kita perlu ambil kira kemajuan teknologi dan juga peralatan," katanya.
"Kami melihat adanya usaha yang bersungguh-sungguh untuk ketelusan, terutamanya di bawah kepimpinan pilihan raya kali ini," kata Singson.
-- BERNAMA