Skip to main content

Dunia

Pilihan raya Kazakhstan: Lebih 8.2 juta pengundi tunai tanggungjawab

Voters visit a polling station during a snap parliamentary election in Almaty, Kazakhstan, August 23, 2026. REUTERS/Pavel Mikheyev
Pengundi menunaikan tanggungjawab di sebuah pusat mengundi pada pilihan raya Parlimen di Almaty, Kazakhstan, 23 Ogos, 2026. REUTERS
Advertisement

MOSCOW: Kadar keluar mengundi dalam pilihan raya pertama Kazakhstan bagi Qurultay, Parlimen baharu yang terdiri daripada satu dewan, mencecah 65.37 peratus setakat 4 petang waktu tempatan (1100 GMT) pada Ahad, mengatasi kadar yang dicatatkan pada pilihan raya Parlimen terakhir pada 2023, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC).

Anggota CEC Assel Zhanabilova berkata seramai 8,240,336 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka, mewakili 65.37 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beliau berkata kadar keluar mengundi berbeza dengan ketara di seluruh negara.

Almaty, bandar terbesar di negara itu, merekodkan kadar terendah pada 36.65 peratus, manakala kadar keluar mengundi tertinggi dilaporkan di wilayah Kyzylorda pada 81.38 peratus.

Di ibu negara Astana, sebanyak 46.38 peratus pengundi berdaftar telah mengundi, menurut data CEC.

Kadar keluar mengundi pada pilihan raya 2023 bagi memilih anggota dewan rendah Parlimen Kazakhstan, Mazhilis, ialah 54.21 peratus.

Pilihan raya pada 23 Ogos itu merupakan pilihan raya Parlimen pertama yang diadakan di bawah Perlembagaan baharu yang diluluskan menerusi referendum awal tahun ini.

Perlembagaan baharu itu memansuhkan Parlimen dua dewan sebelum ini dan menggantikannya dengan Qurultay yang terdiri daripada satu dewan dengan 145 anggota.

Kesemua 145 kerusi dipertandingkan menerusi senarai parti, dengan pengundi memilih antara tujuh parti politik berdaftar.

Tiada ambang minimum kadar keluar mengundi bagi pilihan raya Parlimen, yang bermakna pilihan raya itu dianggap sah tanpa mengira jumlah pengundi yang mengambil bahagian.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement