MOSCOW: Anggota dewan perwakilan Amerika Syarikat dari Parti Demokrat Dean Phillips dari Minnesota membayangkan kemungkinan beliau bertanding pada pilihan raya presiden pada 2024.

Jika menjadi kenyataan, Phillips yang juga seorang usahawan akan mencabar penyandang yang juga Presiden Joe Biden dalam undian utama, Sputnik memetik laporan akhbar Politico.

Perkara itu dimaklumkan Phillips yang juga anggota dewan perwakilan dari Minnesota kepada dua rakan sejawatnya dari Parti Demokrat, lapor akhbar berkenaan pada Khamis.

Menurut akhbar itu, ahli parlimen berkenaan kerap mencabar Biden agar berdepan saingan daripada partinya memandangkan usia presiden itu selain beliau percaya negara itu memerlukan pilihan baharu.

Menurut Politico, Phillips baru-baru ini mula mengambil langkah untuk bertanding jawatan presiden, termasuk menghubungi pengerusi Parti Demokrat New Hampshire, Ray Buckley minggu lalu dan beberapa orang berpotensi untuk bekerja dengannya di New Hampshire.

Ahli politik itu juga dilaporkan telah menemui bekas penasihat Republican Steve Schmidt dan bekas penasihat Demokrat Bill Fletcher yang berpangkalan di Tennessee.

Tambah laporan itu, pemimpin Demokrat berkenaan dipercayai mampu membiayai sebahagian besar kempen presidennya.

Biden telah pun mengumumkan pencalonannya untuk bertanding pada pilihan raya presiden AS 2024.

-- BERNAMA