DUNIA

Pilihan raya Thailand jadi tumpuan, keputusan sukar diramal

Bernama 06/02/2026 | 03:30 MYT
Kesediaan Thailand untuk perubahan politik akan diuji, di mana pendekatan kebajikan, reformasi, dan kelegaan ekonomi menjadi fokus utama pengundi. - Foto AP
BANGKOK: Tumpuan sekali lagi terarah ke Thailand apabila pengundi di negara itu akan menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) bagi memilih perdana menteri baharu dan kesemua 500 ahli Dewan Perwakilan, selain menyertai referendum perlembagaan kebangsaan pada Ahad ini.


Ringkasan AI
  • Pengundi di Thailand akan mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) serta referendum perlembagaan kebangsaan Ahad ini, yang dijangka mencerminkan potensi perubahan politik negara itu.
  • Seramai 52.9 juta pengundi layak mengundi dalam PRU kali ini di mana tiga penjuru utama seperti Parti Bhumjaithai, People's Party, dan Parti Pheu Thai bersaing, dengan People's Party mendahului dalam tinjauan pendapat.
  • Kesediaan Thailand untuk perubahan politik akan diuji, di mana pendekatan kebajikan, reformasi, dan kelegaan ekonomi menjadi fokus utama pengundi, sambil referendum perlembagaan juga menambah dimensi penting dalam proses politik negara.


Di tengah-tengah ketidakstabilan politik negara itu serta krisis sempadan yang berlarutan dengan negara jiran Kemboja, penganalisis berkata pilihan raya berkenaan akan menguji kesediaan Thailand untuk melakukan perubahan politik dan berpotensi membentuk semula hala tuju politik negara.

Buat pertama kali dalam sejarah politik Thailand, seramai 52.9 juta pengundi yang layak bukan sahaja akan memilih 500 ahli Parlimen, malah menentukan sama ada perlembagaan baharu perlu digubal bagi menggantikan Piagam 2017.

Pilihan raya awal itu diadakan selepas Anutin Charnvirakul, perdana menteri ketiga negara itu sejak pilihan raya 2023, membubarkan Dewan Perwakilan pada 12 Dis lepas ketika berdepan undi tidak percaya yang semakin hampir.

Pemerhati politik berkata PRU kali ini dijangka menjurus kepada pertembungan tiga penjuru antara Parti Bhumjaithai pimpinan Anutin, pembangkang progresif yang diterajui People's Party serta Parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Tinjauan pendapat menjelang PRU pada Ahad ini menunjukkan People's Party, penjelmaan ketiga gerakan progresif Thailand dengan sokongan kuat golongan belia, mendahului saingan selepas parti pendahulunya - Future Forward Party dan Parti Move Forward - dibubarkan oleh mahkamah.

Tinjauan oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (NIDA) mengenai keutamaan parti bagi kerusi Parlimen menunjukkan People's Party mendahului dengan sokongan 33.56 peratus, diikuti Bhumjaithai (22.76 peratus), Pheu Thai (16.92 peratus) dan Parti Demokrat (12.76 peratus).

Tinjauan itu turut menunjukkan pemimpin People's Party yang juga calon perdana menteri, Natthaphong Ruengpanyawut sebagai pilihan utama untuk jawatan itu di seluruh negara, diikuti Anutin. Bekas perdana menteri dan ketua Parti Demokrat Abhisit Vejjajiva berada di kedudukan ketiga manakala Yodchanan Wongsawat daripada Pheu Thai di tempat keempat.

Melihat kepada trend tinjauan itu, penganalisis menyifatkan Natthaphong memiliki kelebihan jelas dalam persaingan bagi jawatan perdana menteri, walaupun dinamik gabungan pascapilihan raya tetap akan menentukan pihak yang akhirnya membentuk kerajaan.

Pengarah Institut Pengajian Asia Timur di Universiti Thammasat, Prof Madya Dr Chaiwat Meesanthan, berkata momentum Natthaphong diperkukuh dengan kepulangan tokoh-tokoh yang dikaitkan dengan bekas gerakan Move Forward, yang mengaktifkan semula pengundi yang mahukan reformasi, pengundi kali pertama dan segmen kelas menengah bandar selepas pilihan raya 2023.

"Beliau menonjol dengan menggabungkan kredibiliti reformis serta tumpuan pragmatik terhadap tekanan kos sara hidup, dasar kebajikan dan langkah antirasuah, yang membolehkan pengundi mengaitkannya dengan perubahan politik dan juga kelegaan ekonomi dalam kehidupan seharian," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Walaupun parti reformis menunjukkan prestasi yang kukuh dalam tinjauan itu, penganalisis memberi amaran bahawa keputusan tinjauan tidak semestinya diterjemahkan kepada mandat pilihan raya yang jelas dalam landskap politik Thailand yang berpecah-pecah.

Chaiwat berkata suasana menjelang hari pengundian kekal "sangat kompetitif tetapi terkawal secara strategik", memandangkan peraturan pilihan raya yang ketat serta pemantauan lebih rapi terhadap pembiayaan kempen dan kempen dalam talian, yang mendorong parti-parti mengambil pendekatan berhati-hati.

Mengenai keutamaan pengundi, beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang perlahan, hutang isi rumah yang menghampiri 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta kos sara hidup yang kekal tinggi telah menjadikan sekuriti pendapatan, pelepasan hutang dan kemampuan sebagai kebimbangan utama pengundi. Trend itu berkait rapat dengan peningkatan kepentingan dasar kebajikan dan kualiti hidup seperti penjagaan kesihatan yang diperluas, sokongan warga emas dan perlindungan untuk pekerja tidak formal.

Mengemukakan perspektif struktur yang lebih luas, Prof Madya Samart Thongfhua dari Prince of Songkla University, kampus Pattani berkata pilihan raya itu merupakan ujian kritikal sama ada "rangkaian kuasa lama" negara itu dapat mengekalkan kawalan atau sama ada kuasa progresif mampu membawa perubahan struktur yang bermakna. Beliau menambah bahawa kepentingan pilihan raya itu semakin meningkat berikutan referendum perlembagaan yang diadakan serentak.

Beliau meramalkan PRU kali ini boleh mengakibatkan parlimen tergantung, sekali gus menjadikan pembentukan gabungan pascapilihan raya sebagai faktor penting.

"Jika gabungan konservatif besar seperti itu gagal dibentuk, senario seterusnya yang paling mungkin berlaku ialah pembentukan pakatan pro-demokrasi yang diterajui People's Party dan Pheu Thai, dengan syarat Pheu Thai bersedia untuk berkompromi dan menyelaraskan semula pendiriannya bersama blok progresif," katanya.

Bagi referendum itu, pengundi akan ditanya sama ada Thailand perlu memulakan proses penggubalan perlembagaan baharu, dengan pilihan jawapan "Ya", "Tidak" atau "Tiada pendapat". Undi majoriti "Ya" akan memberi kuasa kepada Parlimen untuk memulakan proses penggubalan, manakala keputusan "Tidak" akan mengekalkan Piagam 2017.

Laporan media menyatakan bahawa referendum kedua akan diadakan bagi meluluskan proses penggubalan itu, diikuti referendum ketiga untuk mengesahkan teks akhir, menjadikan proses keseluruhan boleh dilanjutkan sekurang-kurangnya dua tahun selepas pengundian awal.

Dengan ketiadaan majoriti yang jelas, penganalisis berkata keputusan pengundian Ahad - termasuk referendum perlembagaan - mungkin bergantung kepada rundingan pascapilihan raya, memandangkan ketiadaan parti dominan menimbulkan kebimbangan terhadap kerapuhan gabungan dan pergeseran dalam Kabinet.

-- BERNAMA





#pilihan raya #PRU #ahli Parlimen #referendum perlembagaan kebangsaan