Pindah Kedutaan AS: Abbas terima panggilan Trump

Astro Awani
Disember 5, 2017 21:00 MYT
Donald Trump (kanan) mengalu-alukan Mahmoud Abbas ke pejabatnya di White House di Washington, Amerika Syarikat, 3 Mei, 2017. REUTERS/Fail
Presiden Palestin Mahmoud Abbas dilaporkan telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa, berhubung hasratnya memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis.
Perkara itu disahkan jurucakap Abbas, Nabil Abu Rdainah, di Ramallah, yang menyatakan Abbas telah menjelaskan pendirian bahawa keputusan terbaharu itu bakal menyulitkan lagi keadaan terutamanya membabitkan proses damai yang dipersetujui sebelum ini.
Malah, menurutnya, Abbas juga tidak menolak kemungkinan sekiranya ia berlaku, tidak mustahil ia bakal menjadi titik noktah kepada perjanjian damai itu sendiri.
Bagaimanapun butiran jelas dalam perbualan antara Trump dan Abbas tidak didedahkan.
Sementara itu, Reuters melaporkan, White House mengesahkan perbincangan Trump dengan lima pemimpin Asia Barat mengenai beberapa keputusan yang bakal dibuat berhubung Baitulmaqdis.
Selain Abbas, pemimpin terbabit adalah with Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Raja Jordan, Raja Abdullah, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, menurut kenyataan White House.
Dalam perbualan mereka, Trump juga dikatakan mengesahkan semula komitmen beliau berhubung perjanjian damai Israel-Palestin.
#Amerika Syarikat #Baitulmaqdis #Donald Trump #Israel #Mahmoud Abbas #Palestin #presiden #Ramallah