Hanya sehari sejak plak simbol demokrasi dipasang penunjuk perasaan di Bangkok, Thailand, ia kini dilaporkan hilang oleh pihak polis.

Plak tersebut yang diletak berhampiran Grand Palace mengisytiharkan bahawa negara itu milik rakyat dan bukan milik raja, susulan protes menggesa reformasi monarki serta supaya parlimen bawah Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha dibubarkan.

“Saya terima laporan bahawa plak tersebut hilang, namun saya tidak tahu bagaimana ia hilang atau siapa yang melakukannya,” kata timbalan ketua polis Bangkok Piya Tawichai kepada Reuters.

Terpahat pada plak tersebut: “Di sini, rakyat telah menyatakan keazaman mereka: bahawa negara ini milik rakyat dan bukan milik monarki seperti mana yang mereka telah menipu kepada kami.”

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 20,000 orang sertai protes tersebut pada Ahad, kebanyakannya membabitkan golongan pelajar.

Protes berkenaan berakhir apabila salah seorang pemimpinnya mengemukakan petisyen kepada pihak polis.

Antara lain, ia menuntut reformasi terhadap sistem pemerintahan beraja di Thailand termasuk mengehadkan kuasa raja dan mewujudkan kawalan lebih ketat ke atas kewangan istana.

Gerakan bersejarah itu mencabar kuasa raja Thailand secara terbuka sekali gus melanggar pantang mengkritik institusi diraja negara itu.