Planet baharu saiz Bumi dikesan berhampiran zon boleh dihuni

Planet itu, dikenali sebagai HD 137010 b, dikesan menggunakan data daripada misi K2 teleskop angkasa Kepler milik NASA. - Foto: NASA
ISTANBUL: Ahli astronomi mengenal pasti sebuah planet baharu bersaiz Bumi yang mengorbit bintang seakan Matahari kira-kira 146 tahun cahaya dari Bumi, sekali gus mencetuskan minat baharu terhadap dunia berhampiran yang berpotensi menyokong kehidupan, menurut satu kajian terkini, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Planet itu, dikenali sebagai HD 137010 b, dikesan menggunakan data daripada misi K2 teleskop angkasa Kepler milik NASA yang dikumpulkan pada 2017 dan dianalisis oleh pasukan antarabangsa diketuai penyelidik Universiti Southern Queensland (USQ) Alexander Venner.
Penemuan itu diterbitkan pada Selasa dalam jurnal The Astrophysical Journal Letters.
Menurut kajian berkenaan, planet itu dianggarkan kira-kira enam peratus lebih besar daripada Bumi dan mempunyai tempoh orbit sekitar 355 hari.
Penyelidik berkata, planet itu mempunyai "kira-kira 50 peratus kemungkinan berada dalam zon boleh dihuni" bintangnya, walaupun suhu permukaannya mungkin lebih hampir kepada Marikh dan berpotensi serendah -94 darjah Fahrenheit (-70 darjah Celsius).
"Apa yang sangat menarik tentang planet bersaiz Bumi ini ialah bintangnya hanya kira-kira 150 tahun cahaya dari sistem suria kita," kata penulis bersama, Chelsea Huang dari USQ sambil menjelaskan bahawa jaraknya yang relatif dekat menjadikannya sasaran menjanjikan untuk teleskop masa hadapan.
"Planet terbaik seterusnya di sekeliling bintang seperti matahari, dalam zon boleh didiami, iaitu Kepler-186f adalah kira-kira empat kali lebih jauh dan 20 kali lebih malap, katanya.
Isyarat samar yang mendedahkan kewujudan planet itu mula dikenal pasti oleh saintis termasuk penulis utama Venner, yang berkata: "Saya menyumbang kepada projek sains warga ini yang dipanggil Planet Hunters ketika saya masih di sekolah menengah dan ia berperanan besar bagaimana saya menceburi bidang penyelidikan."
"Misi angkasa masa hadapan yang direka untuk merakam imej secara langsung planet seakan Bumi, seperti NASA Habitable Worlds Observatory, juga berpotensi merakam imej HD 137010 b," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


